TUMPUAN peminat Selangor FC nampaknya lebih terarah kepada nasib dan masa depan pengendalinya, Michael Feichtenbeiner menjelang aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Jumaat.
Sambil penyokong setia Merah Kuning mengharapkan pasukan kesayangan mereka dapat menumpaskan Kuala Lumpur City FC, pelbagai skrip akan wujud seandainya perjalanan bekas juara lima kali pertandingan ini terhenti.
“Sudah tentu kami mengharapkan Selangor menang dalam peringkat kalah mati ini.
“Berikan kemenangan ini kepada penyokong Selangor yang sudah tentu tidak berbelah bagi menyokong pasukan setiap masa.
“Andai tersungkur sudah pasti kedudukan coach Micheal dalam bahaya dan pengurus Selangor harus bertanggungjawab jika gagal dalam saingan Piala FA ini kerana kempen ini menawarkan tiket ke saingan Piala AFC tahun depan,” kata Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid kepada Flash Sukan.
Dia juga berharap semua pemain yang akan diturunkan akan tampilkan persembahan terbaik dan tersusun serta peluru bermain bersungguh-sungguh demi lencana di dada.
“Saya harap pasukan kekal fokus Piala FA untuk dijulang dan mendapat slot ke pentas Asia.
“Ini hadiah paling bermakna kepada Tuanku Raja Muda Selangor dan juga seluruh penyokong Selangor,” ujarnya lagi.
Prestasi semasa skuad dari Lembah Klang ini tidak begitu konsisten apabila sekadar menghuni tangga ketujuh Liga Super dengan memperoleh 12 mata dan ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim.