PASANGAN beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melonjak empat anak tangga dalam kedudukan ranking dunia selepas menjuarai kejohanan badminton Terbuka China, Ahad lalu.

Kejayaan menjuarai kejohanan berstatus Super 1,000 itu, menyaksikan gandingan yang bernaung di bawah jenama Viktor itu menambah 9,650 mata, untuk mendaki dari tangga ke-12 ke kedudukan kelapan dunia ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikemaskini, hari ini.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meraih gelaran Super 1,000 pertama di Terbuka China.

Sebelum menjuarai Terbuka China, Sze Fei-Izzuddin turut memenangi Terbuka Jepun berstatus Super 750, bulan lalu.

Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang masih belum beraksi selepas meraih gangsa di Sukan Olimpik Paris, kekal menduduki ranking kelima dunia.

Aaron-Wooi Yik masih tidak dapat turun beraksi berikutan kecederaan jari kaki kanan dialami Wooi Yik.

Nasib berbeza dialami perseorangan lelaki yang juga bernaung di bawah Viktor, Lee Zii Jia yang turun dua anak tangga ke kedudukan kelima dunia, selepas prestasi hambar di Terbuka China.

Lee Zii Jia masih berada dalam Top 5 dunia.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Paris itu, tewas 15-21, 2-21 kepada wakil Jepun Koki Watanabe di pusingan pertama minggu lalu.

Sementara beregu campuran profesional negara yang juga pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie naik dua anak tangga daripada kedudukan ke-12 kepada 10 dunia selepas muncul naib juara Terbuka China.

Manakala beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah kekal di kedudukan kelapan dunia.