TONGGAK Johor Darul Ta’zim II, Gabriel Nistelrooy membuktikan kredibilitinya sebagai penyerang tempatan apabila kini mengungguli takhta penjaring terbanyak Piala MFL 2024-2025.
Dengan sembilan gol ketika ini, pemain kelahiran Sarawak ini mengakui masih banyak yang perlu dipelajari terutamanya untuk memperkemaskan lagi ketajaman di hadapan gawang bagi perlawanan akan datang.
Gabriel bagaimanapun menganggap pentas Piala MFL banyak membantunya untuk terus menjadi pemain terbaik dan dengan pencapaian ketika ini memberikan lebih motivasi kepadanya untuk memastikan status penjaring terbanyak terus kekal menjadi miliknya.
“Ya saya agak berpuas hati apabila dapat menjaring banyak gol, tapi setakat ini banyak lagi yang perlu saya perbaiki.
“Rakan sepasukan saya juga amat membantu, terutamanya ketika di sesi latihan. Hasil bantuan daripada merekalah yang membantu saya menjaringkan lebih banyak gol.
“Di Malaysia, sekarang ni kita ketandusan penyerang tempatan. Bagi saya sebagai seorang penyerang, apa yang saya mampu saya beri adalah saya akan buat yang terbaik dan manfaatkan peluang sebaik mungkin,” jelasnya.
Pemain berusia 24 tahun ini turut berbangga apabila beberapa kali diberi peluang untuk berlatih bersama skuad utama JDT sebelum ini.
Bahkan, dengan tunjuk ajar daripadq pemain-pemain senior seperti Bergson da Silva ternyata meletakkan pemain muda ini antara yang perlu diberi perhatian pada masa hadapan.
“Betul, ada juga beberapa kali saya berpeluang untuk berlatih bersama skuad utama JDT. Dari situlah saya dapat belajar daripada penyerang-penyerang utama JDT seperti Bergson dan ramai lagi.
“Kadang-kadang ada juga mereka beri nasihat untuk memperbaiki mana yang perlu.
“Hasrat untuk jadi penjaring terbanyak itu memang ada namun bagi saya, yang penting adalah dapat menjulang Piala MFL dan membantu rakan-rakan untuk mencapai kejuaraan pada tahun ini,”tambahnya.
Kemenangan 3-0 JDT II ke atas Kuching City FC semalam terus meletakkan pasukan itu di tangga teratas Piala MFL dengan 20 mata setakat ini.