PERINGKAT ketiga, empat dan lima bakal menjadi cabaran paling sukar buat skuad berbasikal lebuhraya kebangsaan, Malaysia dalam misi merebut pasukan terbaik Asia, pada kempen perlumbaan berbasikal, Petronas Le Tour de Langkawi 2024.
Ketua jurulatih skuad berbasikal lebuhraya kebangsaan, Mohd Yusof Nasir berkata, ini berikutan pelumba perlu berdepan cabaran pendakian dalam tempoh tiga hari berturut-turut dan ia memerlukan tahap ketahanan tinggi dan proses pemulihan yang pantas.
“Peringkat yang sukar untuk perlumbaan kali ini, tentunya di peringkat ketiga, empat dan lima.
“Peringkat ketiga melalui Taiping ke Cameron Highlands, peringkat keempat pula dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong manakala peringkat kelima dari Kuala Lumpur ke Melaka yang akan melalui Bukit Ampang, Bukit Hantu dan Bukit Mantin.
“Tiga hari ini mencabar dan kita bimbang sekiranya pelumba tidak dapat mencapai tahap pemulihan (recovery) yang cepat,” kata Mohd Yusof.
Peringkat ketiga menawarkan tiga pendakian kategori 3 di Kuala Kangsar, Kampung Raja (kategori 1) dan kategori Hors di Brinchang.
Peringkat keempat pula melibatkan satu pendakian kategori 1 di GAP manakala peringkat kelima menawarkan tiga pendakian, iaitu kategori 2 di Bukit Ampang dan Bukit Hantu serta kategori 3 di Bukit Mantin.
Sementara itu, Mohd Yusof turut menjangkakan perlumbaan peringkat ketujuh akan turut memberikan kesukaran, berikutan tiada hari rehat diberikan biarpun para pelumba terpaksa transit dan melalui perjalanan jauh dari Johor ke Miri, Sarawak.
“Ya kali ini selepas transit, keesokan harinya semua pelumba perlu terus berkayuh sejauh kira-kira 200 kilometer… ia antara yang paling mencabar kerana sekiranya perlumbaan di luar negara, jika melibatkan proses transit, tempoh sehari cuti akan diberikan,” ujarnya.
Tambahnya, kesukaran dan tidak cukup rehat bukan hanya akan dialami pelumba malah kakitangan pasukan yang perlu cekap menguruskan pembungkusan basikal dan segala peralatan berkaitan.
Ketika skuad kebangsaan yang akan mewakili negara di LTdL 2024 belum diperkenalkan lagi, Mohd Yusof mengakui semua pelumba terpilih sudah dimaklumkan untuk memberikan aksi terbaik di setiap peringkat perlumbaan.
“Dari peringkat pertama di Langkawi lagi pelumba kita akan all out, tiada simpan-simpan.
“Jika ada peluang sahaja, mereka diingatkan untuk melakukan yang terbaik untuk memastikan pasukan menamatkan saingan dalam kelompok tiga teratas Asia,” tambahnya.
Menurutnya, sebagai persiapan terakhir menjelang kira-kira tiga hari sebelum perlumbaan bermula, Ahad ini, beliau menekankan aspek pemulihan selepas barisan pelumba negara kepenatan menempuh perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Perlis.
“Saya mahu pelumba berehat secukupnya, menjaga pemakanan dan kesihatan, terutamanya dalam situasi cuaca yang tidak menentu ini,” katanya lagi.
Untuk rekod, saingan LTdL 2024 akan bermula di Pulau Langkawi Ahad ini dan berakhir di Bitulu, Sarawak pada 6 Oktober.