SAINGAN Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dijangka lebih menarik berbanding penganjuran edisi sebelumnya, meskipun ketiadaan pendakian Genting Highlands pada perlumbaan berstatus 2.Pro itu, terutamanya bagi perebutan juara keseluruhan (GC).

Pada edisi lalu, pemenang jersi GC bagaikan mudah diramal apabila pelumba yang berjaya menawan puncak pendakian kategori Hors itu, seolah-olah sudah memegang jersi GC, namun kali ini situasinya dijangka berbeza dengan pendakian di Cameron Highlands.

Perkara itu diakui oleh bekas pelumba negara, Loh Sea Keong yang mengakui, setelah beberapa kali tanpa pendakian ke Genting Highlands, saingan tetap berlangsung menarik.

Loh Sea Keong yakin saingan sengit akan berlaku bagi merebut jersi GC.

“Ketika zaman saya mewakili skuad kebangsaan dahulu pun sudah banyak kali tiada pendakian Genting Highlands, saingan menjadi terbuka kerana pasukan WorldTeam tetap akan memberikan persembahan terbaik untuk mengukuhkan status mereka,” katanya, yang 12 kali beraksi di LTdL.

Ujarnya, persaingan tetap akan berlangsung dengan sengit kerana pasukan Asia pula mahu merebut kedudukan tiga kelompok terbaik Asia.

“Jadi perlumbaan masih ada keseronokan dan debaran seperti biasa. Kebiasaan Cameron Highlands akan menjadi penentu jika tiada pendakian Genting Highlands, cuma jurang masa pendahulu dengan yang lain tidak banyak.

“Pelumba yang berebut untuk mendapatkan GC lebih ramai berbanding mereka yang menguasai Genting Highlands tertumpu kepada dua atau tiga pelumba sahaja,” katanya yang pernah meraih GC Jelajah Malaysia pada 2013 ketika mewakili pasukan berstatus benua OCBC Singapore Continental Cycling Team.

Sea Keong yang menjadi pelumba Asia Tenggara pertama beraksi dengan pasukan berstatus WorldTeam, Giant Shimano pada 2014 (sekarang dikenali Team DSM–Firmenich PostNL) berkata, perlumbaan selepas pendakian Cameron Highlands (peringkat ketiga) sehingga peringkat terakhir juga boleh dianggap kritikal buat semua pelumba.

Ditanya mengenai peluang pakar pecut negara bersama pasukan masing-masing, Sea Keong mengakui ia bukan sesuatu yang mustahil.

“Ada peluang, terutama pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Izzat Hilmi Abdul Halil, yang sudah dua tahun beraksi konsisten. Bagi Harrif Saleh pula (Terengganu Polygon Cycling Team), dia kena tunggu masa yang sesuai.

“Semua orang tahu pelumba berusia ini kena lebih banyak bersabar tapi dia pernah memenangi peringkat perlumbaan sebelum ini, jadi ia sebagai satu senjata untuknya mencatat kemenangan.

“Bagi Iqbal Daniel Nawawi (Henxiang Cycling Team), penampilan kali pertama perlulah diberi ruang untuk dia ‘meneroka’ perlumbaan ini. Pelumba muda sekarang tidak seperti dahulu, mungkin mereka ada jangkaan lebih tinggi. Biar dia berlumba tanpa tekanan,” katanya.