KEHADIRAN beberapa pelumba basikal bukit dalam pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC) di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, menghadirkan aura berbeza dalam saingan kali ini.

Kapten MPC, Muhamad Zawawi Azman berkata, perasaan ingin mencuba dan menggunakan semangat ‘kamikaze’ menyemarakkan semangat pasukan.

Zawawi berkata, karakter dipamerkan itu menjadikan pelumba lama untuk meletakkan mentaliti yang setanding dengan mereka sekali gus bakal memperkuatkan lagi pasukan memburu penamat diidamkan pada edisi kali ini.

Kapten MPC, Muhamad Zawawi Azman (kuning) yakin aura positif memenuhi pasukannya.

“Seronok juga sebab mereka membawa aura positif. Walaupun tak ada pengalaman banyak di LTdL tetapi mereka sentiasa fikir positif… mahu buat terbaik dan dapatkan keputusan terbaik.

“Walaupun mereka tak tahu bagaimana laluan nanti, tetapi perasaan ingin mencuba itu sangat tinggi, jadi kita merasakan yang mentaliti itu kena sama seperti mereka juga,” kata Zawawi atau lebih mesra disapa Awi itu.

Sementara bagi Zulfikri Zulkifli atau dikenali sebagai ‘Teney’ pula, dia membuat penampilan sulung di LTdL 2024 selepas menamatkan perlumbaan Peringkat 5 Tour of Thailand pada April lalu, di tempat ketiga.

Selain Teney yang beralih dari basikal bukit ke lebuhraya, turut beralih arah adalah Muhammad Syawal Mazlin, Muhammad Fahmi Khairul dan Ahmad Syazrin Awang Ilah.

Turut berada dalam pasukan kali ini adalah pelumba berpengalaman, Mohammad Izzat Hilmi Abdul Halil.

“Sebelum ini, siapa sangka Teney berjaya berada di podium nombor tiga di Tour of Thailand?. Jadi mereka ini mempunyai perasaan ingin mencuba yang sangat tinggi.

“Mereka baharu dan nak timba pengalaman… tak takut nak mencuba. Saya yang lama ini pun, tengok mereka membawa satu semangat baharu. Jangan pandang rendah sebab rezeki itu, kita tak tahu,” kata Zawawi.

Perlumbaan LTdL 2024 dijadual membuka tirainya Ahad ini, merangkumi lapan peringkat membabitkan laluan sejauh 1,227.2 kilometer (km).

Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan edisi kali ini yang turut menyaksikan dua peringkat perlumbaan julung-julung kalinya bakal dilangsungkan di dua buah bandar di Sarawak iaitu Miri dan Bintulu.