PASUKAN Kuala Lumpur City FC (KL City FC) berjaya mengatasi cabaran sengit dari Borneo Samarinda FC dalam aksi Kejuaraan Kelab Asean 2024 dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis malam.

Kemenangan ini sekaligus melonjakkan KL City ke tangga kedua Kumpulan B.

Perlawanan dimulakan dengan tempo agresif dari kedua-dua pasukan. KL City memulakan permainan dengan tekanan tinggi, namun peluang awal untuk mereka dihentikan oleh pertahanan Borneo.

Pada minit ke-7, Paulo Josue dilayangkan kad kuning selepas terjahan keras terhadap pemain lawan. Perlawanan menjadi semakin fizikal dengan kedua-dua pasukan saling bertukar serangan.

Borneo, yang memasuki perlawanan ini sebagai pendahulu Kumpulan B, berjaya mengawal permainan dan mendominasi 67 peratus penguasaan bola pada separuh masa pertama.

Namun, mereka tidak berjaya mencipta peluang yang benar-benar mengancam. KL City pula lebih banyak bertahan dengan tenang, menyekat setiap percubaan Borneo melalui pertahanan mereka. Separuh masa pertama berakhir tanpa sebarang jaringan, dengan kedudukan masih terikat 0-0.

Memasuki babak kedua, Borneo terus menekan KL City dengan beberapa percubaan berbahaya, tetapi penjaga gawang Azri Ghani kekal tenang menepis segala ancaman.

KL City tampak lebih defensif namun berjaya mencipta beberapa peluang berbahaya melalui serangan balas. Pada minit ke-76, Brendan Gan akhirnya memecah kebuntuan dengan rembatan padu selepas menerima hantaran cantik dari Zhafri Yahya, menjadikan kedudukan 1-0 memihak kepada KL City.

Azri Ghani tampil cemerlang menjaga gawang Kuala Lumpur untuk perlawanan malam ini. FOTO: KL City FC

Borneo cuba untuk bangkit, tetapi pertahanan KL City yang diketuai oleh Declan Lambert kekal utuh. Meskipun Borneo menguasai 71 peratus permainan dan terus memberi tekanan, KL City berjaya bertahan sehingga wisel penamat.

Kemenangan ini memberi nafas baharu buat KL City dalam kempen Shopee Cup 2024, sekaligus meletakkan mereka di tempat kedua Kumpulan B, di belakang Cong An Ha Noi yang mengungguli kumpulan dengan kelebihan perbezaan gol.

KL City kini berada dalam landasan terbaik untuk mara ke peringkat seterusnya, tetapi masih perlu menghadapi cabaran getir dari Buriram United dalam perlawanan seterusnya bagi memastikan kedudukan mereka kekal di kelompok teratas.