JUARA beregu campuran Terbuka Korea, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terpaksa menarik diri daripada dua kejohanan Jelajah Dunia di Eropah selepas Toh Ee Wei mengalami kecederaan tangan kiri semasa latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara semalam.

Ee Wei mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika melakukan latihan di gim, sekali gus mengetepikan pasangan nombor 9 dunia itu daripada Terbuka Artik (8-13 Okt) dan Terbuka Denmark (15-20 Okt).

Pengarah kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky berkata Ee Wei memerlukan 16 jahitan untuk luka di tangan kirinya.

Toh Ee Wei mengalami kecederaan tangan kiri ketika menjalani latihan di gim ABM Bukit Kiara semalam

“Ee Wei memerlukan beberapa jahitan dan tidak akan bertanding dalam kejohanan akan datang. Perkara yang paling penting ialah dia dalam keadaan yang baik-baik saja, dan kami menjangkakan dia pulih dalam beberapa minggu,” kata Rexy.

“Keadaannya sedang dipantau rapi oleh pasukan perubatan, dan kami akan memberikan maklumat terkini mengenai pemulihannya dalam masa terdekat,” ujarnya.

Tang Jie-Ee Wei berada dalam prestasi yang baik, mara ke suku akhir di Sukan Olimpik Paris pada Ogos, memenangi gelaran Super 500 Terbuka Korea, dan mara ke suku akhir Terbuka Jepun dan separuh akhir Terbuka Hong Kong.

Tahun lalu, pasangan itu berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Artik dan mara ke pusingan 16 terakhir Terbuka Denmark.