JUARA bertahan Le Tour de Langkawi (LTdL) Simon Carr, menjangkakan kejuaraan keseluruhan (jersi GC) untuk edisi 2024 kali ini bukan milik pakar pendakian bukit.
Raja Bukit dari pasukan EF Education-EasyPost itu mengakui, ketiadaan Genting Highlands dalam peringkat laluan LTdL2024, membuka ruang kepada pakar pecut untuk merebut gelaran juara keseluruhan.
“Cita-cita masih sama (buru jersi GC) untuk muncul juara keseluruhan, tetapi peringkat laluan agak berbeza.
“Tahun lalu, Genting (Highlands) sebagai penentu, tetapi tahun ini (perlumbaan) agak mudah, menjadikannya lebih sukar diramal… mungkin bukan pendaki tulen akan memenangi GC,” kata Simon, dalam sidang media pelumba, menjelang saingan LTdL2024 yang bermula Ahad.
Pada tahun lalu, Simon memenangi perlumbaan Peringkat 5, dari Slim River ke Genting Highlands yang melibatkan pendakian Kategori Hors, dan dinobatkan sebagai juara keseluruhan untuk memenangi jersi GC, satu-satunya kejuaraan GC yang dimenanginya sepanjang kerier.
Mengulas mengenai kondisi dan persiapannya menjelang LTdL2024, Simon berkata, “Di sebalik beberapa peringkat perlumbaan yang gagal ditamatkan sebelum datang ke Langkawi, kondisi saya sama seperti sebelum aksi LTdL2023 dan akhirnya berjaya memenangi jersi GC.”
Dalam masa sama, pelumba kelahiran Hereford, Great Britain itu memberitahu, pasukannya tidak hanya bergantung kepada dirinya untuk memenangi jersi GC.
Katanya, terdapat beberapa pelumba yang bukan pakar pecut dalam pasukan.
“Pasukan kami dibarisi pelumba yang boleh tahan juga, datang ke sini.
“Apapun, Peringkat 3 menjadi perlumbaan paling penting,” tambah Simon.
Peringkat 3 perlumbaan LTdL2024, melibatkan kayuhan sejauh 170.3 kilometer (km), dari Taiping ke Cameron Highlands, menawarkan tiga pendakian, iaitu Kategori 3 di Kuala Kangsar, Kategori 1 di Kampung Raja dan Kategori Hors di Brinchang.