PASUKAN PDRM Defenders berjaya mencatat kemenangan penting pada perlawanan penentuan tempat ketiga keempat STL Premier GP Terengganu yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak pada Sabtu malam.

Persembahan cemerlang oleh para pemain kendalian Mohd Khalid Alias telah membuktikan mereka layak untuk berada di kedudukan tempat ketiga, menewaskan Penang Black Panthers dengan keputusan menang straight set 2-0.

Dalam set pertama, PDRM Defenders mendahului dengan kemenangan 15-8 dan pasti meninggalkan tekanan buat Penang Black Panthers.

PDRM Defenders berjaya mengesahkan tempat ketiga dalam STL GP Terengganu.

Set kedua diteruskan sekali gus menyaksikan keserasian antara Siwatbancha Seekhwa (tekong), dan sepasang kembar yang beraksi penuh semangat, iaitu Muhammad Shahalril Aiman (apit kanan) serta Muhammad Shahalril Aimin (apit kiri).

Tambah pula dengan beberapa kesilapan teknikal oleh Penang, ia serta merta memberi kelebihan buat PDRM Defenders untuk menamatkan set kedua berkenaan dengan keputusan 15-11.

PDRM Defenders jelas mencatatkan rekod baik pada STL Premier musim ini setelah memenangi tempat keempat pada GP Selangor sebelum ini dan seterusnya melonjak di tempat ketiga dalam GP Terengganu. Misi seterusnya akan disambung pada STL GP Perak yang akan bersambung tidak lama lagi.