PASUKAN Kuala Lumpur (KL) Thunder berjaya mengukuhkan kedudukan di carta Liga Sepaktakraw (STL) Premier 2024 setelah kekal menjadi juara buat GP kedua (Terengganu) pada aksi final Sabtu malam.

Kejayaan mereka dengan menumpaskan Terengganu Turtles di pentas final pada malam Sabtu boleh dikatakan tidak begitu mencabar apabila mereka menang mudah dengan keputusan straight set 2-0.

KL Thunder yang dibarisi pemain kebangsaan iaitu Syahir Rosdi selaku tekong manakala Mohd Azlan Alias (apit kanan) dan Sirisak Anuloon (apit kiri) kekal tenang dengan meninggalkan jurang lapan mata untuk mendahului 15-7 sebelum mula set kedua.

Terengganu Turtles bertemu KL Thunder di final GP Terengganu.

Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Terengganu sekali gus memberi kelebihan dan mata kemenangan buat KL Thunder untuk bergelar juara bertahan di GP Terengganu selepas sebelum ini menang di GP Selangor.

Set kedua yang bermula dengan semangat baharu buat Terengganu Turtles malangnya tidak berjaya diteruskan hingga ke penghujung apabila servis terbaik oleh tekong KL Thunder juga membantu untuk menang dengan keputusan 15-11.

Ia menjadi detik bermakna buat peminat KL Thunder setelah melihat tiga pemain kegemaran mereka beraksi cemerlang untuk mengekalkan gelaran sedia ada, dan seterusnya fokus untuk misi ke GP Perak pula.