PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah bersyukur atas kemenangan ketiga berturut-turut The Bos Gaurus selepas menewaskan Sri Pahang FC 3-0 dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada Sabtu.

Kemenangan itu turut menyaksikan Perak mengumpul sembilan mata maksimum sekaligus melonjak ke tangga keempat Liga Super dengan 14 mata ketika pusingan pertama berbaki satu perlawanan untuk dilengkapkan.

Namun begitu, dia tidak mahu anak-anak buahnya terbawa-bawa akan kejayaan ini sebaliknya kekal fokus untuk aksi seterusnya bertemu pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim pada 5 Oktober.

“Syukur atas kemenangan ketiga dan ‘clean sheet’ ketiga berturut-turut serta kredit kepada para pemain yang menjalankan tanggungjawab walaupun bermula agak perlahan tetapi kami berjaya sempurnakan semua peluang yang dicipta.

“Saya berterima kasih kepada para pemain dan sentiasa berpesan kepada mereka supaya kekalkan fokus dan tidak alpa meskipun sudah mencapai kemenangan kerana dalam bola sepak kita akan dihukum apabila kita leka,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad terpaksa menerima hakikat kekalahan ini dan menyatakan ketiadaan beberapa tonggak utama menyukarkan misi pasukan dan berharap tempoh rehat selepas ini dapat membantu pasukannya pulih dari masalah kecederaan.

“Ketiadaan beberapa pemain utama seperti Stefano Brundo menganggu rentak kami yang membuatkan kami kurang bertenaga di bahagian tengah dan belakang dalam perlawanan ini.

“Kredit juga kepada pasukan lawan yang mempamerkan aksi bertenaga terutama penjaga gol mereka dan kami harap tempoh rehat antarabangsa ini berikan kami peluang untuk pulih dan kembali beri saingan selepas ini,” jelasnya.

Selepas 11 perlawanan, Sri Pahang kekal di tangga kelapan liga dengan 11 mata dan akan bertemu Penang FC pada 20 Oktober untuk melengkapkan aksi pusingan pertama.