KONTINJEN Sarawak melakar kejayaan bergaya apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Para SUKMA XXI Sarawak 2024, dengan meraih 82 pingat emas, 53 pingat perak, dan 74 pingat gangsa, dengan secara keseluruhan pingat yang dikumpulkan Sarawak sebanyak 209.
Keputusan ini merupakan kejayaan yang meyakinkan bagi Sarawak setelah tewas kepada Sabah pada edisi sebelumnya.
“Kalau nak dibandingkan dengan edisi tahun lepas, kita tewas di tangan Sabah dengan jarak emas hanya empat, tetapi kali ini kita berjaya menang dengan 40 jarak emas.
“Jadi ini kejayaan yang sangat menyakinkan dan saya boleh katakan sebagai kemenangan bergaya buat kontinjen Para SUKMA Sarawak,” kata jurucakap kontinjen Sarawak.
Sarawak juga telah mendominasi temasya Para SUKMA, memenangi gelaran juara sebanyak 13 kali berturut-turut dari edisi 1994 di Johor hingga 2018 di Perak.
Para SUKMA sebelum ini dikenali sebagai Sukan Orang Cacat Malaysia (1982-1996) dan Sukan Paralimpiad Malaysia (1998-2016).
Pada edisi 2022 di Kuala Lumpur, Sabah mengejutkan dengan meraih gelaran juara sulungnya selepas memenangi 54 emas, 36 perak dan 35 gangsa, kelebihan empat emas yang menafikan kemenangan Sarawak 50 emas 47 perak 49 gangsa pada tahun tersebut.
Sementara itu, untuk edisi kali ini Sabah menduduki tempat kedua dengan meraih 62 pingat emas, 42 pingat perak, dan 32 pingat gangsa, menjadikan keseluruhan pingat yang dikumpul mereka sebanyak 136.
Johor pula berada di kedudukan ketiga dengan kutipan 33 pingat emas, 35 pingat perak, dan 29 pingat gangsa, menjadikan keseluruhan 97 pingat.
Penutupan temasya Para SUKMA Sarawak 2024 ini menandakan kebangkitan semula Sarawak sebagai juara dominan dalam sukan paralimpik kebangsaan, memahat nama mereka kembali di persada sukan negara. – Bernama