PENGURUS Liverpool, Arne Slot, kekal merendah diri walaupun pasukannya kini menerajui carta Liga Perdana Inggeris selepas kemenangan 2-1 ke atas Wolverhampton Wanderers pada pagi Sabtu.
Ini merupakan kemenangan keempat berturut-turut Liverpool dalam semua pertandingan dalam tempoh kurang dua minggu.
Liverpool kini mengumpul 15 mata daripada enam perlawanan liga, satu mata di hadapan juara bertahan Manchester City dan naib juara musim lalu, Arsenal.
Kemenangan terbaru ini menambah rentetan keputusan cemerlang Liverpool, yang sebelum ini menewaskan AC Milan 3-1 dalam Liga Juara-Juara, membelasah Bournemouth 3-0 dalam liga, dan kemudian mengalahkan West Ham United 5-1 dalam pusingan ketiga Piala Liga.
Walau bagaimanapun, Slot menegaskan bahawa kejayaan awal ini belum menjamin mereka sebagai pencabar gelaran.
“Saya sentiasa cuba bersikap realistik dan kerja Juergen (Klopp) sangat luar biasa, semua orang tahu itu,” kata Slot mengenai bekas pengurus Liverpool, Juergen Klopp, yang meletakkan jawatan selepas musim lalu.
“Dua tahun lalu adalah kali terakhir mereka bermain dalam Liga Juara-Juara dan mereka menduduki tempat kelima. Sekarang, kami perlu membuktikan bahawa kami mampu bersaing di Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris. Selepas 19 perlawanan, mungkin saya boleh membuat penilaian, tetapi bukan selepas enam perlawanan,” kata pengurus berasal dari Belanda itu.
Dalam perlawanan tersebut, Ibrahima Konate berjaya menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris di Stadium Molineux, sementara Mohamed Salah menyempurnakan sepakan penalti. Wolves sempat menyamakan kedudukan selepas kelemahan pertahanan yang dilakukan oleh Konate.
Konate sempat bergurau dengan rakan sepasukan, Ryan Gravenberch, selepas perlawanan, menyatakan bahawa dia yang sepatutnya dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan dan bukan Gravenberch yang menerima anugerah itu.
Namun, Slot tidak begitu terhibur dengan gurauan tersebut.
“Konate? Mungkin dia lupa detik di mana kami bolos gol,” kata Slot. “Itulah sebabnya kami bolos kerana dia tidak berada di situ dan ia sebenarnya boleh dielakkan.
“Apabila kami bolos dengan cara ini, mereka (Wolves) kembali ke dalam perlawanan. Nasib baik, kami segera menjaringkan gol untuk menjadikan kedudukan 2-1. Dengan hanya satu gol membezakan kami, ia membuatkan perlawanan ini sukar sehingga ke penghujungnya,” ujarnya.
Liverpool akan terbang ke Itali kerana dijadualkan bertemu Bologna dalam saingan Liga Juara-Juara pada Rabu ini.