JAGUH seni bela diri campuran (MMA) dunia, Khabib Nurmagomedov, tiba di Kuala Lumpur pada Ahad dan berpeluang bertemu dengan para peminatnya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC).
Dalam sesi temubual yang hangat bersama penyanyi dan pengacara terkenal, Alif Satar, Khabib berkongsi tentang peranan besar Islam dalam membentuk kehidupannya.
“Sejak kecil, ibu bapa saya, terutamanya ayah, telah merancang kehidupan saya dengan asas Islam yang sangat kukuh.
“Inilah sebabnya apabila ujian datang tanpa saya jangka, segalanya menjadi lebih mudah untuk saya tangani,” ujar Khabib.
Tambah Khabib, asas Islam ini banyak membantu sepanjang perjalanannya menuju puncak dunia.
“Ketika saya dinobatkan sebagai juara dunia, segala tanggungjawab jatuh di bahu saya, namun hanya dengan Islam saya dapat mengendalikannya dengan tenang dan mudah,” jelasnya lagi.
Bagi Khabib, pegangan Islam yang kuat adalah tunjang utama, menjadi panduan dalam kehidupan peribadi serta kariernya, sekali gus memberi kekuatan untuk mengatasi pelbagai cabaran baik di dalam mahupun di luar gelanggang.
Digelar sebagai ‘The Eagle’, Khabib menutup kariernya dengan penuh gemilang, meninggalkan rekod sempurna tanpa kekalahan dengan 29 kemenangan.
Anak kelahiran Dagestan ini merebut gelaran Juara Lightweight UFC selepas menundukkan petarung Amerika, Al Iaquinta, pada tahun 2018.
Khabib berjaya mempertahankan tali pinggang juara sebanyak tiga kali, termasuk kemenangan besar ke atas bintang Ireland, Conor McGregor, serta dua petarung hebat Amerika, Dustin Poirier dan Justin Gaethje, sebelum memutuskan untuk bersara pada 2021.
Kini, Khabib memainkan peranan penting sebagai jurulatih kepada Juara Lightweight UFC, Islam Makhachev.