PENGURUS Manchester United, Erik Ten Hag menegaskan yang dia tidak risau dipecat selepas Manchester United sekali lagi tumbang di Old Trafford apabila tewas 3-0 kepada Tottenham.

Ten Hag berjaya mengekalkan jawatannya sebagai pengendali pada musim panas lalu tetapi kini kembali ditekan, selepas United – yang menyaksikan kaptennya, Bruno Fernandes dibuang padang – tewas dua kali berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford kepada Liverpool dan Spurs, kedua-duanya dengan keputusan 3-0.

Ditanya sama ada dia bimbang dengan masa depannya, pengendali dari Belanda itu berkata: “Tidak, saya tidak memikirkan tentangnya. Kami membuat keputusan untuk kekal bersama pada musim panas.

“Kami juga membuat keputusan terhadap apa yang perlu ditingkatkan sebagai satu organisasi, tetapi kami sedar ia akan mengambil masa.

“Kami semua sependapat, pemilik, pengarah, kakitangan dan pemain-pemain. Saya tidak risau tentang itu. Akan ada perlawanan baharu, hari yang baharu. Kami akan bangkit,” kata Ten Hag.

Penyerang Spurs, Brennan Johnson menjaringkan gol pertama seawal minit yang ke-3. (Sumber Gambar: Reuters)

“Perkara sebegini mustahil dilakukan dalam bola sepak peringkat tertinggi, anda tidak boleh melakukan kesilapan begitu.

“30 minit pertama adalah persembahan di bawah tahap yang diharapkan daripada pasukan Man United.

“Walaupun dibolosi awal, anda perlu kekal tenang dan terus bersatu serta mengikut perancangan. Kemudian baru anda akan mengawal permainan, ini tidak berlaku kepada kami.

“Pemain-pemain mula tertekan selepas dibolosi awal, dan mereka mula membuat keputusan salah. Kami sepatutnya beraksi dengan lebih baik,” katanya.

United kini tewas tiga daripada enam perlawanan pertama liga musim ini dan menghuni tangga ke-12 di belakang Brentford.