ARNE Slot teruja untuk merasai pengalaman perlawanan Eropah pertama di Anfield sebagai pengendali Liverpool.

The Reds akan beraksi di laman sendiri buat pertama kali dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah sejak Februari 2023 dengan menentang Bologna awal pagi Khamis ini.

Liverpool turun sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris dan permulaan cemerlang Liga Juara-Juara dengan menewaskan AC Milan 3-1 di San Siro pada perlawanan pertama.

“Ada kelab di mana anda perlu melakukan banyak perkara bagus sebelum mereka mula menyokong anda, tetapi di sini stadium mula meriah dari saat pertama, sama seperti di Feyenoord.

“Saya tahu betapa istimewanya perlawanan laman sendiri di Feyenoord, tetapi aksi Eropah di laman sendiri jauh lebih istimewa. Ada yang memberitahu saya, perkara sama berlaku di Liverpool, jadi saya menjangkakan sesuatu yang hebat pada perlawanan pertama (di laman sendiri menentang Bologna).

“Saya tidak sabar untuk mengalami pengalaman pertama Eropah di Anfield,” kata Slot.

Slot mengharungi permulaan positif selepas menggantikan Jurgen Klopp di Anfield pada musim panas lalu, menang tujuh daripada lapan perlawanan kompetitif setakat ini.

Sebagai pemain profesional, Slot pernah mewakili FC Zwolle, NAC Breda, Sparta Rotterdam dan PEC Zwolle sebelum bersara pada tahun 2013.

Kariernya sebagai jurulatih bermula di SC Cambuur Leeuwarden dan kemudian ke AZ Alkmaar sebelum membimbing Feyenoord menjuarai Eredivisie dan Piala KNVB sepanjang tiga tahun di kelab itu.