PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) melarang Presiden Persekutuan Bola Sepak Cameroon (Fecafoot) Samuel Eto’o daripada mengikuti perlawanan pasukan kebangsaan dalam semua peringkat umur, lelaki dan wanita, selama enam bulan.

Fifa mengenakan hukuman ini ke atas Eto’o selepas legenda Barcelona itu melanggar peraturan disiplin. Eto’o melakukan hukuman itu semasa perlawanan Piala Dunia Wanita B-20 2024.

“Sekatan itu dikenakan berhubung perlawanan pusingan 16 Piala Dunia Wanita B-20 FIFA antara Brazil lawan Cameroon yang berlangsung di Bogota, Colombia, pada 11 September 2024,” menurut kenyataan Fifa yang dipetik Reuters.

Kenyataan rasmi Fifa berhubung hukuman Eto’o.

Fifa tidak memberikan butiran insiden pelanggaran yang dilakukan Eto’o dalam perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Tatatertib Fifa berkata Eto’o didapati bersalah atas ‘kelakuan menyinggung perasaan dan melanggar prinsip permainan adil’ serta ‘salah laku’ melibatkan pegawai.

Eto’o telah menjadi individu kontroversi sejak berkhidmat sebagai Presiden Fecafoot. Kira-kira tiga bulan lalu, lelaki berusia 43 tahun itu didenda oleh Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) kerana didakwa melanggar piawaian etika dan integriti.

Eto’o memegang jawatan Presiden Fecafoot sejak 2021. Beberapa kontroversi timbul sejak bekas pemain Inter Milan itu menyandang jawatan itu.