KETUA jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner secara rasmi berpisah dengan kelab pantai timur itu.

Berita perpisahan jurulatih dari Croatia itu telah dimaklumkan oleh Terengganu FC menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh kelab itu dimana Tomislav bersetuju untuk menamatkan kontrak beliau selaku ketua jurulatih.

“Kelab Terengganu FC telah mengadakan satu perbincangan bersama pengendali pasukan, Steinbruckner dan telah mencapai satu persetujuan bersama untuk penamatan kontrak beliau sebagai Ketua Jurulatih pasukan utama Terengganu FC bagi musim ini.

“Namun begitu, perbincangan akhir berkenaan terma penamatan masih dalam perbincangan diantara kedua-dua pihak.

“Turut mengikuti bersama proses ini adalah 2 orang staf di barisan kejurulatihan iaitu Ivica Vranješ (Penolong Jurulatih) dan Hrvoje Bradasic ( Jurulatih Kecergasan),” kata kelab itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan melalui media sosial.

“Langkah ini diambil dan diputuskan bersama atas dasar melihatkan prestasi semasa pasukan serta dalam usaha kelab untuk memelihara perhubungan diantara para pemain, penyokong dan imej kelab secara keseluruhannya,” tambahnya.

Kegagalan Tomislav untuk membawa sebarang kemenangan untuk Sang Penyu dalam 5 aksi terakhir merupakan antara faktor penamatan kontrak untuk pengendali yang berasal dari Croatia itu.

Tugas ketua jurulatih Terengganu FC bakal digalas oleh Badrul Afzan buat sementara waktu sehingga diisi oleh individu yang sesuai pada masa terdekat.

Antara pencapaian Tomislav Steinbruckner ialah berjaya membawa Terengganu FC ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim 2023 sebelum ditewaskan oleh JDT selain turut muncul sebagai naib juara Piala Sumbangsih pada musim yang sama.