RATA-rata penyokong pasukan Shanghai Shenhua melahirkan rasa teruja dan kagum dengan ciri-ciri mewah yang ada di Stadium Sultan Ibrahim apabila mereka hadir untuk menyaksikan aksi Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25.

Tinjauan FLASH SUKAN di sekitar stadium menyaksikan ramai penyokong Shenhua yang hadir sejak awal petang untuk memberikan sokongan kepada kelab mereka selain mahu merasai suasana perlawanan di Iskandar Puteri.

Beberapa penyokong yang ditemui menyatakan rasa kagum dengan fasiliti mewah yang ada di stadium milik JDT itu dan turut tidak melepaskan peluang untuk membeli barangan cenderahati yang dijual di kedai rasmi JDT Direct.

Seorang penyokong yang ditemui, Chang. menyatakan dia berasa bangga dan selamat ketika berada di Stadium Sultan Ibrahim dengan laluan khas yang dikhususkan untuk penyokong lawan.

“Saya datang dari Shanghai untuk perlawanan ini dan saya kagum dengan suasana mewah di stadium ini dan berasa selamat kerana penyokong tuan rumah begitu mesra serta kami penyokong lawan mempunyai laluan khas untuk masuk ke stadium.

“Di China juga kami mempunyai stadium yang baik tetapi fasiliti untuk penyokong seperti kedai kopi, kedai cenderahati rasmi dan pelbagai pilihan makanan serta aktiviti menjadikan suasana menonton di Johor lebih menarik,” katanya.

Seorang lagi temannya yang dikenali sebagai Chen menyatakan dia sedang bercuti di Kuala Lumpur dan dia keluar seketika dari kumpulan lawatan semata-mata untuk ke Johor bagi menyaksikan perlawanan ini.

“Saya lari sebentar dari kumpulan saya dan hadir ke sini untuk memberikan sokongan buat Shenhua dan saya mahu menggu aktiviti sedikit wang belanja untuk berbelanja di kedai cenderahati rasmi sebagai kenangan,” jelasnya.

Kedua-dua penyokong tegar Shanghai Shenhua itu bagaimanapun tidak yakin pasukan mereka mampu menewaskan JDT sebaliknya memilih keputusan seri sebagai keputusan yang lebih adil.