KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio gembira dengan persembahan yang dipamerkan anak-anak buahnya ketika menewaskan Shanghai Shenhua 3-0 dalam Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25 pada Selasa.
Dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim itu, JDT berjaya mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Arif Aiman Hanapi dan Jorge Obregon sebelum sepakan percuma cantik Juan Muniz melengkapkan kemenangan gemilang JDT terhadap juara Piala FA China 2023.
“Saya sangat gembira kerana pemain bermain baik dan berlari sepanjang perlawanan. Kami bermain sebagai satu pasukan dan sentiasa menggerakkan bola dari kiri ke kanan serta berjaya tunjukkan potensi pasukan dalam kejohanan ini.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam kelab ini serta kepada para penyokong yang sangat hebat hari ini dan para pemain memberikan mereka kegembiraan dengan kemenangan hasil kerja keras mereka setiap hari,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Selain gembira dengan kemenangan ini, pengendali asal Argentina itu juga mengakui berpuas hati melihat JDT kini mampu bersaing bersama-sama kelab besar di kejohanan Asia dan membuktikan mereka juga kini sebaris dengan kelab-kelab handalan yang lain.
“Bagi kami semua perlawanan adalah sukar kerana mempunyai musim yang panjang tetapi kami mempunyai pasukan yang baik dengan skuad yang lengkap. Semua sudah menganggap umpama keluarga dan hari ini kita tunjukkan kita semakin baik di Asia.
“Saya sangat gembira kerana pasukan menang dan mendapat tiga mata selain mengambil kesempatan atas satu mata di tempat lawan dan kini kami sudah buktikan kita mampu beraksi baik di kejohanan Asia,” jelasnya.
Hector turut memuji penglibatan Oscar Arribas yang dilihat selesa bergandingan dengan sesiapa pun di dalam padang kerana dia dianggap sebagai pemain yang versatil dan pintar.
“Oscar adalah pemain yang baik dan boleh bermain di pelbagai posisi dan hari ini dia buktikan yang dia faham kehendak taktikal permainan selain dia selesa bermain dengan sesiapa pun mengikut arahan yang diberikan,” ujarnya.
Kemenangan ini meletakkan Harimau Selatan di tangga kedua liga Zon Asia Timur selepas berakhir dua perlawanan dan akan berhadapan Gwangju FC di tempat lawan pada 22 Oktober 2024.