PERAK FC menggesa semua penyokong setia untuk hadir beramai-ramai bagi memberi sokongan padu dalam perlawanan terakhir mereka di Stadium Perak, Ipoh, pada Sabtu ini.
Stadium Ipoh bakal menjalani proses baik pulih selepas perlawanan tersebut. Perlawanan penting ini bakal menyaksikan skuad The Bos Gaurus menentang gergasi Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), pasukan yang tidak dinafikan sebagai kuasa besar bola sepak Asia.
Perlawanan ini akan menjadi detik penuh emosi bagi pasukan dan penyokong, kerana selepas ini, Perak FC bakal berpindah ke stadium Manjung. Pengurus Besar Perak FC, Neow Choo Seong, menyeru penyokong untuk menjadikan perlawanan ini satu kenangan yang bersejarah.
“Kami mohon semua penyokong hadir beramai-ramai untuk memberi sokongan penuh kepada pasukan. Pemain kami bersemangat dan bersedia untuk berikan yang terbaik,” kata Neow dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, perlawanan menentang JDT bukan sekadar aksi di atas padang, tetapi juga sebagai tanda penghargaan kepada penyokong setia yang tidak pernah jemu memberikan sokongan sepanjang musim ini.
Perak FC juga mengingatkan para penyokong agar menjaga tingkah laku dan tidak mencetuskan sebarang insiden yang boleh mencemarkan perlawanan tersebut. Neow menekankan kepentingan menjaga maruah dan kebanggaan kelab dengan mengekalkan suasana harmoni di dalam stadium.
“Kami mahu Perak FC dikenali dengan maruah dan kebanggaan. Fokus pada perlawanan dan nikmati suasana tanpa menimbulkan konflik,” tambahnya.
Walaupun JDT merupakan pasukan yang hebat, Neow yakin dengan kemampuan skuad Perak FC, terutama dengan sokongan penuh daripada penyokong yang sentiasa menjadi nadi kekuatan pasukan.
“Mari jadikan perlawanan terakhir di Stadium Perak ini satu kenangan manis, sebelum kita mulakan perjalanan baru di Manjung,” ujar beliau lagi.
Sokongan dari para penyokong amat diperlukan bagi memberi semangat tambahan kepada pemain-pemain yang akan berusaha sehabis mungkin untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan terakhir di stadium ikonik ini.
Dengan semangat “Together, we are stronger!”, Perak FC berharap perlawanan menentang JDT akan menjadi satu detik manis yang dikenang sebelum berpindah ke gelanggang baharu.
Perak FC kini dalam prestasi yang terbaik dalam saingan Liga Super Malaysia 2024/2025 selepas kemenangan berturut-turut menentang Kuala Lumpur di Stadium Ipoh dan kemenangan atas pasukan Tok Gajah (Pahang FC) di Temerloh Sabtu lalu.
Skuad kendalian Yusri Che Lah kini berada dalam kedudukan keempat liga selepas mengumpul 15 mata dalam 10 perlawanan.