Foto: JDT juara Piala Malaysia 2023 setelah menewaskan Terengganu FC.

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan jadual Liga Super 2024/25 bagi bulan Oktober dan November melibatkan perlawanan minggu 14 sehingga minggu 16 yang bermula 25 Oktober sehingga 30 November 2024.

MFL mengeluarkan jadual berkenaan dengan lebih awal supaya kelab-kelab di Liga Malaysia dapat melakukan persiapan awal khususnya melibatkan aspek logistik pasukan.

Berdasarkan jadual yang dikeluarkan juga, penyokong bola sepak tempatan perlu cakna bahawa dalam bulan November, terdapat perlawanan pusingan 16 Piala Malaysia.

Jadi, adalah tidak wajar dan kurang tepat seperti apa yang diperkatakan oleh para netizen mengenai pasukan yang akan beraksi dua perlawanan sahaja dalam tempoh satu bulan.

Apatah lagi, MFL juga mengambil kira beberapa faktor termasuk memberi laluan kepada skuad kebangsaan bermula 11 sehingga 19 November 2024 (Fifa Days).

MFL mengeluarkan kenyataan mengenai jadual perlawanan liga.

“Malah pengumuman jadual perlawanan dalam tempoh dua bulan itu juga memberi ruang kepada MFL untuk menilai dan mengkaji susunan jadual terbaik dalam tempoh pertandingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 pada 8 Disember 2024 sehingga 5 Januari 2025.

“Justeru, MFL masih meneliti solusi terbaik untuk mengimbangi jadual yang lebih tersusun bagi memberi ruang terutamanya kepada dua kelab iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berentap di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 dan Selangor yang beraksi di Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2024/25 bagi persediaan lebih baik,” menurut kenyataan MFL.

Tidak lupa juga, dua wakil Asean Club Championship (ACC) iaitu Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC yang akan meneruskan cabaran di peringkat kumpulan pada bulan Januari dan Februari 2025 juga perlu diberi perhatian.

Untuk makluman tambahan, Majlis Undian Piala Malaysia juga dijangka akan diadakan pada penghujung Oktober ini, dan sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi daripada pengelola bola sepak tempatan tersebut.