PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan komitmen mereka dalam usaha memperkuatkan pasukan kebangsaan dengan mendapatkan pemain-pemain ‘heritage’ berketurunan Malaysia yang berpangkalan di luar negara.
Meskipun usaha mendapatkan Matts Deijl gagal, FAM tetap berterima kasih kepada Matts atas hasrat murninya untuk mewakili Malaysia.
Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, kegagalan mendapatkan khidmat Matts adalah disebabkan masalah teknikal berkaitan dokumen yang tidak melepas piawaian Fifa.
Namun, beliau menegaskan bahawa usaha FAM untuk mendapatkan pemain-pemain berbakat tidak akan terhenti.
“Kami berharap bahawa kegagalan ini tidak membantutkan usaha untuk terus mencari pemain-pemain terbaik yang mempunyai kualiti lebih tinggi daripada pemain sedia ada dalam negara.
“Apa yang penting, pemain-pemain ini mesti lebih baik dan membawa sesuatu yang baru kepada pasukan kebangsaan,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian di antara FAM dan Warner Music.
Mohd Yusoff turut menjelaskan bahawa usaha mendapatkan pemain berdarah campuran bukan sekadar kerana faktor warisan semata-mata, tetapi juga kerana pemain tersebut mesti menunjukkan komitmen yang tinggi dan keinginan untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan.
“Kami tidak mahu mengambil pemain hanya kerana warisan, tetapi mereka perlu mempunyai kualiti yang lebih baik daripada pemain tempatan.
“Matts Deijl adalah contoh yang menunjukkan komitmen yang tinggi, dan kami harap ada lebih ramai pemain yang mempunyai hasrat seperti beliau,” tambahnya.
Bagaimana pun Mohd Yusoff menekankan pembangunan pemain tempatan tetap menjadi fokus utama FAM.
“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pemain berdarah campuran atau naturalisasi. Walaupun mereka boleh menjadi pemangkin untuk mempertingkatkan prestasi pasukan dalam jangka pendek, pembangunan pemain tempatan perlu terus berjalan.
“Matlamat jangka panjang kita adalah untuk membina pasukan yang dibarisi oleh pemain tempatan yang mempunyai kualiti setanding dengan pemain luar negara.”
Beliau turut memberi contoh bagaimana beberapa tahun kebelakangan ini semakin ramai pemain yang berminat untuk mewakili negara, berbeza dengan situasi sebelum ini di mana motivasi untuk mewakili Malaysia agak rendah kerana kekalahan yang berterusan.
“Kita melihat perubahan positif dalam mentaliti pemain-pemain tempatan. Mereka kini lebih bersedia untuk bersaing dan mencapai tahap yang lebih tinggi. Oleh itu, pembangunan pemain tempatan dan program pembangunan bakat perlu berjalan seiring untuk memastikan pasukan kebangsaan terus kuat.”
Dalam pada itu, Majlis Menandatangani Perjanjian di antara FAM dan Warner Music Malaysia menyaksikan kedua-duanya mengikat kontrak untuk menghasilkan sebuah lagu tema rasmi untuk skuad Harimau Malaya.
Perjanjian tersebut dimeterai oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dan Pengarah A&R Warner Music Malaysia, Raqeem Brian dalam sebuah majlis di PJ Performing Arts Centre, hari ini.
Lagu itu dijangka akan dikeluarkan dalam tempoh enam bulan akan datang, atau seawal ketika Malaysia memulakan kempen Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac depan.