KEGAGALAN menamatkan perlumbaan dalam had masa yang ditetapkan (OTL) menyaksikan, pelumba paling banyak menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL), Mohd Harrif Saleh terkeluar dari saingan 2024, selepas tamat empat daripada lapan peringkat.
Perasaan sedih yang tidak dapat digambarkan dengan perkataan menyelubungi pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG) itu, yang menjadi antara pelumba paling lambat tiba di Bentong, selepas memulakan kayuhan dari Kuala Kubu Bharu.
Dia yang mesra dengan panggilan ‘Mamat’ berkata, dia sehabis daya cuba menamatkan perlumbaan dalam tempoh waktu ditetapkan namun akhirnya terpaksa akur dengan penyingkiran.
Harrif tidak berseorangan, malah juara keseluruhan tahun lau, Simon Carr dari EF Education-EasyPost juga terkeluar atas alasan yang sama.
“Memang berjuang juga untuk melawan dengan masa ditetapkan namun pelumba WorldTeam sangat laju, semalam (kelmarin) baru habis pendakian di Cameron Highlands, diikuti GAP (Bukit Fraser) dan keesokannya (semalam) ada bukit lagi,” katanya, yang sudah 15 kali beraksi di LTdL.
Katanya, tahap kemampuan pelumba pecut luar negara sangat tinggi dan dia bukan hendak menyalahkan penganjur namun menyatakan sedikit kekecewaan kerana perlumbaan dijalankan selepas Grand Tour (Tour de France, Giro d’Italia dan Vuelta Espana).
“Perkara ini perlu dilihat juga kerana mereka baharu sahaja menghabiskan perlumbaan tahap tinggi. Jadi perlu dikaji (jadual perlumbaan). Jurang kita jauh dengan mereka.
“Perlumbaan kali ini memang landai tapi sangat mencabar. Bagi diri saya sendiri ia sangat sukar tambahan pula kami hanyalah pakar pecut tahap Asia. Ini kali pertama saya kena OTL, sebelum ini hanya disingkirkan akibat kesalahan ‘sticky bottle’ dan terbabit dalam kemalangan sahaja,” katanya.
Tambahnya, dia sendiri ketika berlumba juga tidak tahu tahap masa pada peringkat semalam dan sudah berusaha sebaik mungkin.
“Kita memang tidak mahu benda ini terjadi, sebab ramai lagi berada di kelompok belakang semalam termasuk juara tahun lalu Carr, dia bersama dengan saya. Sedih kerana saya boleh memberi tentangan pada perlumbaan tahun ini. Sedangkan Izzat (Hilmi Abd Halil) yang muda juga tersingkir disebabkan OTL.
“Begitu juga dengan pakar pecut Team Corratec-Vini Fantini, Jakub Mareczko (juara peringkat empat kali) berada dalam senarai yang tersingkir. Kalau buat berselang-seli laluan landai dan pendakian sukar mungkin lebih sesuai untuk pakar pecut Asia,” katanya.
Selain Harrif dan Izzat Hilmi tiga pelumba Malaysia yang tersingkir ialah Azim Aliyas (skuad kebangsaan), Fahmi Khairul (Malaysia Pro Cycling) dan Zulhelmi Zainal (Nusantara Cycling Team).
Seramai 19 daripada 127 pelumba yang memulakan perlumbaan dari Kuala Kubu Bharu, tersinngkir akibat melebihi masa ditetapkan (OTL) manakala seorang lagi pelumba, tidak menamatkan perlumbaan.