PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Jorge Obregon mengakui antara sebab dia mudah dan cepat menyesuaikan diri bersama-sama pemain yang lain adalah hasil bantuan Bergson Da Silva yang banyak membantunya ketika sesi latihan.

Obregon yang dibawa masuk ketika jendela perpindahan kedua itu tidak bersetuju digelar penyerang nombor satu JDT ketika ini dan dia gembira dengan persaingan sengit antara dia dan Bergson kerana mereka berdua saling hormat antara satu sama lain bagi memastikan kejayaan menjadi milik JDT.

“Semua yang ada di kelab ini sangat bagus dan ini bantu saya cepat sesuaikan diri termasuk komunikasi dengan Bergson yang lebih memudahkan tugas saya di sini untuk bekerja dengan rakan-rakan sepasukan yang lain.

Obregon menjaringkan gol kedua JDT ketika menewaskan Shanghai Shenhua.

“Bergson adalah penyerang yang cukup hebat dan sejak saya tiba di sini, dia banyak membantu saya dan kami sering berbincang ketika sesi latihan namun saya tidak pernah merasakan saya kini penyerang nombor satu kerana saya hanya jalankan tugas.

“Sejujurnya saya mahu bermain bersama dengannya sebagai penyerang kembar kerana dia adalah seorang penyerang yang berkualiti tetapi kadang kala taktikal memerlukan salah seorang dari kami untuk duduk dahulu di bangku simpanan.

“Namun apa yang boleh saya katakan, kami saling menghormati dan saya gembira bila dia bermain dan dia juga gembira bila saya bermain dengan Bergson sering berikan kata-kata semangat buat saya,” katanya.

Bergson banyak membantu Obregon sesuaikan diri dengan cepat bersama rakan-rakan sepasukan

Pemain kelahiran Colombia itu berjaya membuka akaun jaringannya di pentas Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25 selepas menjaringkan gol kedua ketika membantu Harimau Selatan menewaskan Shanghai Shenhua 3-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

Dia bagaimanapun terlepas dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada awal permainan namun sokongan daripada rakan-rakan sepasukannya memastikan dia kekal fokus dan berjaya membantu JDT meraih tiga mata pertama dalam ACL Elite.

“Selepas terlepas dua peluang baik, saya fokuskan kepada permainan dan sokongan daripada rakan sepasukan membantu saya dan sebagai penyerang, ianya satu perasaan yang bagus untuk jaringkan gol di hadapan penyokong sendiri.

“Kami gembira atas kemenangan ini kerana telah bekerja keras dan sedar semua aksi dalam pertandingan ini adalah sukar dan kami perlu menjadi lebih baik untuk perlawanan akan datang” jelasnya.