GOL lambungan penyerang Aston Villa, Jhon Duran melepasi penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer untuk meraih kemenangan 1-0 dalam Liga Juara-Juara satu taktik yang sudah dirancang, kata pengurus Unai Emery.
“Dalam analisis yang kami lakukan, kami banyak bercakap mengenai posisi biasa Neuer yang sering keluar dari pintu golnya
“Dia (Duran) memikirkan kemungkinan ini mengenai Neuer,” kata Emery mengenai perbincangan Villa sebelum perlawanan itu.
Penyerang Colombia berusia 20 tahun itu menggamatkan Villa Park dengan golnya pada minit ke-79, menyambut bola hantaran jauh dan kemudian melambungkannya melepasi Neuer yang keluar dari garisannya seperti yang selalu dilakukannya dalam perlawanan.
“Dia masih muda, dia mempunyai potensi besar. Sebagai pengurus, saya perlu membenarkannya beraksi, memasukkannya kerana dia mempunyai bakat, kapasitinya membantu kami,” katanya.
Ia gol kelima Duran sebagai pemain gantian musim ini.
“Kami bekerja untuk meningkatkan keupayaannya. Paling penting sikapnya. Dia boleh bermain 90, 60, 30 minit. Dia fokus setiap minit dia beraksi. Ia fantastik buatnya dan pasukan,” katanya lagi.
Emery turut memuji penjaga gol Emiliano Martinez, yang mengekang asakan Bayern dengan beberapa tindakan penyelamat, termasuk menafikan tandukan kencang Harry Kane.
“Martinez melakukan satu tugas mengagumkan, tindakan penyelamat memukau,” ujar Emery.
Kemenangan itu menyaksikan Villa menang dua perlawanan pertama mereka dalam Liga Juara-Juara format baharu 36 pasukan pada peringkat pertama.