KEJAYAAN skuad badminton negara di Sukan Olimpik Paris 2024 terus mendapat penghargaan apabila beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dan pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia, menerima insentif tambahan daripada syarikat minuman isotok terkemuka 100Plus pada Khamis.
Aaron-Wooi Yik menerima sumbangan sebanyak RM150,000 manakala Zii Jia meraih RM100,000 sebagai pengiktirafan atas kejayaan mereka membawa pulang pingat gangsa pada temasya sukan tersebut.
Pengarah Pemasaran F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Leong Wai Yin, menyatakan rasa bangga dengan prestasi ketiga-tiga pemain itu yang berjaya mengatasi tekanan tinggi di Olimpik.
“Aaron, Wooi Yik, dan Zii Jia membawa harapan besar negara di Paris. Walaupun beban harapan itu berat, mereka tetap berjaya mencapai kejayaan dengan semangat juang yang tinggi,” ujar Wai Yin.
Kejayaan ini juga mendapat penghargaan lebih besar berbanding Olimpik Tokyo 2020, di mana insentif yang diterima Aaron-Wooi Yik kali ini meningkat dua kali ganda daripada RM60,000 sebelumnya.
Semnentara itu, Wooi Yik berkongsi perasaan terkejut dan gembira dengan sumbangan yang diterima dan berhasrat untuk mengadakan majlis ‘makan besar’ bersama keluarga, jurulatih, dan rakan sepasukan yang banyak menyokong perjalanan karier mereka.
“Kami ingin menghargai setiap sokongan yang diberikan kepada kami sepanjang masa ini,” kata Wooi Yik.
Selain insentif daripada 100PLUS, Aaron-Wooi Yik dan Zii Jia sebelum ini turut menerima hadiah daripada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), masing-masing membawa pulang RM100,000 setiap seorang. Ketiga-tiga pemain juga dihadiahkan sebuah SUV model dari Chery Malaysia sebagai tambahan penghargaan.
Pencapaian mereka di Olimpik Paris 2024 bukan hanya satu kebanggaan negara, tetapi juga bukti dedikasi dan kerja keras mereka untuk memastikan Malaysia terus di puncak sukan dunia.
Ketiga-tiga pemain akan meneruskan aksi mereka dalam kejohanan terbuka Artic 2024 di Finland, bermula selasa depan.