HUJAN lebat mengiringi perlumbaan Peringkat 5, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 namun ia tidak menghalang pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn menjuarai saingan dari Kuala Lumpur ke Melaka.
Pelumba yang terkenal dengan gelaran ‘Little Gorilla’ itu mula menonjolkan kehebatan dalam perlumbaan berstatus 2.Pro tanpa mengira keadaan cuaca sebaik membiasakan diri dengan perlumbaan di Malaysia.
De Kleijn tiba di garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 35 minit 30 saat (s), dalam perlumbaan sejauh 167.3 kilometer (km), mengetepikan pencabar sama seperti semalam, Matteo Malucelli dari JCL Team UKYO yang hanya berpuas hati di tempat kedua.
Sementara itu, pakar pecut Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa menjadi pelumba ketiga melintasi garisan penamat.
“Ia adalah perlumbaan yang sempurna. Boleh saya katakan bantuan yang sempurna daripada rakan sepasukan. Sebelum 200 meter (m) ke garisan penamat saya dapat rasakan pencabar lain mula menghampiri saya,” katanya, yang merangkul kemenangan kali keempat di LTdL.
Ujar pelumba kelahiran Belanda itu, dia juga dapat merasakan Malucelli menghampirinya dan cuba untuk melakukan pintasan namun ia tidak berlaku.
“Saya juga merasakan seperti seorang pakar pendakian (selepas melalui tiga zon pendakian di Ampang, Bukit Hantu dan Bukit Mantin). Saya sedikit bergelut namun rakan sepasukan hadir bersama saya,” katanya.
Selain perseteruan di garisan penamat De Kleijn dan Malucelli juga ‘bercakaran’ sesama sendiri untuk merebut Jersi Jingga (Raja Pecut), di mana pelumba Itali itu hanya berkelebihan satu mata (46 mata).
Jersi Hijau (pendahulu keseluruhan) pula kekal milik pelumba dsm-firmenich PostNL, Max Poole yang mengumpul masa 16:33:04s, diikuti rapat Thomas Pesenti dari JCL Team UKYO (0:15).
Jersi Polka Dot (Raja Bukit) kekal milik pelumba Burgos-BH, Mario Aparicio dengan mengumpul 27 mata, diikuti Poole 22 mata dan Anthon Charmig dari Astana Qazaqstan Team (22 mata).
Manabu Ishibashi dari JCL Team UKYO kekal menyarung Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia dengan catatan 16:35:22s diikuti Keigo Kusaba (Aisan Racing Team) di tempat kedua, 16:37:59s.
Perlumbaan peringkat keenam esok akan bermula dari Batu Pahat dan berakhir di Kulai dengan jarak 123.4km, dengan menawarkan tiga zon pecutan di Senggarang, Rengit dan Bukit Batu.