PASUKAN Selangor FC mencatat keputusan yang positif apabila berjaya menewaskan Cebu FC 1-0 dalam aksi kedua Liga Juara-Juara AFC 2 di Stadium MBPJ tadi.

Turun sebagai pasukan pilihan, Gergasi Merah menepati ramalan apabila berjaya meraih tiga mata dihadapan penyokong sendiri, yang turut menyaksikan pasukan itu kembali bermain di pentas Asia selepas 8 tahun.

Satu-satunya gol berjaya dihasilkan oleh Yohandry Orozco pada minit ke-10 apabila Ronnie Fernandez melakukan satu serangan balas sebelum menghantar bola ke kaki Orozco untuk menampan bola masuk.

 

Yohandry Orozco berjaya menjaringkan gol pada minit ke-10

Walaupun berjaya memenangi perlawanan dengan satu gol, anak buah Nidzam Jamil mempunyai banyak peluang untuk melebarkan jaringan.

Beberapa percubaan berjaya dihasilkan pada babak pertama menerusi Ali Olwan, Noor Al-Rawabdeh dan Orozco sendiri.

Hujan yang turun pada babak kedua merencatkan permainan kedua-dua pasukan, dengan hanya beberapa serangan yang berjaya dilakukan oleh pasukan Merah Kuning namun gagal untuk menemui pintu gol.

Nidzam Jamil menggunakan peluang ini dengan memperkenalkan dua pemain import baharu iaitu Mohamad Abualnadi dan Nikola Jambor untuk bermain pada babak kedua.

Faisal Halim juga mencipta sejarah untuk diri sendiri apabila melakukan debut di pentas kejohanan Asia untuk kelab pasukan selepas dibawa masuk pada minit ke-62.

Dengan kemenangan ini, Selangor FC kekal di tangga kedua dalam kumpulan H dengan mengutip empat mata, dua mata di belakang Jeonbuk Hyundai Motors.