KEJAYAAN dua wakil Malaysia di pertandingan kelab Asia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC meraih kemenangan keatas lawan masing-masing menyaksikan Malaysia menambah 2.5 mata dalam MA Ranking berdasarkan kemas kini terbaharu laman Footy Rankings.
Selepas berakhir dua perlawanan, JDT yang menewaskan Shanghai Shenhua manakala Selangor pula berjaya membenam Dynamic Herb Cebu dan kini mengumpul 5.833 mata dan berjaya menjarakkan diri dari Vietnam yang hampir memintas mata ranking pada perlawanan pertama.
Dari 5.833 mata itu, Harimau Selatan berjaya menyumbang tujuh mata manakala Gergasi Merah pula menambah 4.667 mata untuk jumlah 11.667 mata yang mana kemudiannya dikira secara purata berdasarkan jumlah kelab sesebuah negara yang bertanding.
Tambah manis, kejayaan itu menyaksikan Malaysia kini mengumpul 30.361 mata dan semakin menghampiri mata ranking MA Australia dengan 32.124 mata yang hanya dipisahkan 1.763 mata sahaja dengan banyak lagi perlawanan yang akan berlangsung.
Tambahan mata ini juga memastikan Malaysia kekal ditangga keenam Asia Timur dan naik satu anak tangga ke tempat ke-12 keseluruhan mengatasi Jordan untuk mengekalkan slot dua kelab di pertandingan Asia – satu untuk Liga Juara-Juara AFC Elite dan satu untuk Liga Juara-Juara AFC 2 musim 2026-2027.
Mata ranking yang mula diperkenalkan sejak 2016 itu menyaksikan tujuh kelab – JDT, Selangor, Kuala Lumpur City, Sabah, Terengganu, Kedah Darul Aman dan Felda United telah menjadi penyumbang mata buat Malaysia dengan JDT menjadi penyumbang terbesar.
JDT konsisten memungut mata sejak 2016 dengan 20.33 mata dari jumlah 30.36 mata sekaligus mencatat 67 peratus mata dan membantu Malaysia mendapat slot bola sepak elit Asia yang pertama kali dipertandingkan musim ini.
Selangor pula menyumbang 9.1 peratus manakala kejayaan Kuala Lumpur City layak ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 memastikan sumbangan 8.2 peratus dengan Sabah dan Terengganu masing-masing dengan 5.3 dan 4.3 peratus manakala Kedah dengan 3.3 peratus dan Felda United 2 peratus.
Kesedaran tentang kepentingan beraksi di peringkat Asia antara kelab-kelab berjaya membantu Malaysia meraih satu keputusan yang membanggakan di peringkat Asia Tenggara dengan berada di tangga kedua di belakang Thailand namum selesa meninggalkan Vietnam, Singapura, Filipina dan Indonesia.