MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menganjurkan satu program Sukan Komuniti Orang Kurang Upaya (SuKOM OKU) pada Sabtu.

Program SuKOM OKU adalah usaha yang diambil oleh Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) dan Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengadakan Sukan Komuniti OKU di semua peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti yang dicadangkan oleh MPM.

Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd Zulkurnain Che Ali telah merasmikan majlis tersebut dan menyampaikan amanat serta menyokong usaha murni memartabatkan sukan di dalam komuniti orang kurang upaya.

MBSJ juga merupakan PBT kedua yang telah mengadakan program SuKOM OKU selepas 16 Septeber 2023 di Manjung Perak.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin telah yakin program ini bukan sekadar acara sukan, tetapi ia adalah cerminan kepada usaha kita untuk mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang.

“Di samping menggalakkan penyertaan aktif komuniti OKU dalam sukan, program ini juga membawa objektif yang lebih besar, antaranya meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya menyokong dan meraikan warga OKU dalam aktiviti sukan dan kehidupan seharian.

“Selain itu memberi peluang kepada komuniti OKU untuk menyerlahkan potensi mereka melalui penyertaan dalam pelbagai sukan. Semua pihak juga perlu memperbaiki perkhidmatan dan infrastruktur untuk memastikan bandar-bandar kita lebih mesra OKU,” jelasnya.

Sebanyak  lima sukan diperkenalkan khusus untuk komuniti OKU iaitu Para Badminton, Bocia, Sitting Volleyball, Blind Football, dan Blind Chess.

Tambah Megat bahawa program seperti ini dapat membantu ibu bapa mengenali minat dan bakat anak-anak mereka dalam sukan yang mungkin mereka tidak ketahui sebelum ini.

Megat D.Shahriman

“Kami akan menyalurkan bakat-bakat ini kepada persatuan negeri supaya mereka boleh dijadikan ahli dan terus berlatih di bawah program yang bersesuaian,” katanya.

Selepas pulang dari temasya Sukan Paralimpik Paris, Megat menyatakan bahawa beliau telah berbincang dengan beberapa persatuan kebangsaan dan negeri untuk menyalurkan bakat OKU yang ditemui melalui program komuniti ini.

“Kami ingin pastikan atlet yang tidak berada dalam program Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diberi peluang untuk dikembangkan oleh persatuan negeri atau kebangsaan.

“Kami berharap dapat meningkatkan kepada 30 peratus penyertaan atlet wanita OKU di seluruh negara. Malah juga menaruh harapan agar PBT lain akan mencontohi inisiatif yang diambil oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya dan mengembangkan lagi program sukan komuniti ini demi pembangunan bakat OKU,” tambahnya.

Acara catur juga turut disenaraikan dalam SuKOM OKU.

Program kali ini turut melibatkan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di mana JKM telah menggalakkan pendaftaran OKU yang masih belum berdaftar di bawah JKM bagi menikmati kemudahan atau bantuan-bantuan yang disediakan khas untuk golongan OKU.

Sukan Komuniti OKU 2024 dihadiri seramai 150 peserta OKU dan ini merupakan edisi kedua selepas penganjuran di Manjung pada tahun lalu.

Selain itu, PESRON Selangor turut sama terlibat dalam memperkenalkan beberapa sukan OKU kepada peserta dan pengunjung yang hadir.