PENGENDALI skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Antonio Miguel Garcoa mempunyai misi besar menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia Futsal 2024 menentang Selangor di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu berazam menebus kekecewaan pada final tahun lalu dengan membantu skuad Harimau Selatan merangkul gelaran juara buat kali pertama dalam sejarah.

Katanya memenangi trofi itu akan menjadi penamat yang sempurna buat JDT selepas berjaya merangkul kejuaraan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 1 2024 pada Julai lalu.

“JDT gembira mara ke final Piala Malaysia Futsal. Seperti apa yang saya katakan sebelum ini, kami datang ke sini bukan hanya untuk bermain tetapi kami mahu menang.

“Saya yakin dengan pasukan saya pada perlawanan ini. Dalam masa sama, kami menghormati Selangor kerana mereka juga pasukan yang bagus,” katanya pada sidang media pra perlawanan pada Sabtu.

Sebagai rekod, JDT menempah slot ke final Piala Malaysia Futsal 2024 selepas menewaskan Kuala Lumpur City dengan agregat 9-2, manakala Selangor mara dengan menewaskan juara bertahan Pahang Rangers 9-7.

Edgar Eder Baldasso optimis Selangor akan akhiri badi.

Sementara itu, pengendali Selangor, Edgar Eder Baldasso optimis pasukan itu akan mengakhiri badi sekadar menduduki tempat ketiga dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Bagaimanapun, Edgar mengakui tugas sukar menanti mereka, kerana JDT adalah pasukan yang kuat dan pilihan untuk menjulang piala.

“JDT adalah pasukan yang kuat kerana mereka juara MPFL. Pasukan mereka juga mempunyai pemain import yang bagus.

“Saya boleh katakan peluang pada perlawanan esok akan menjadi 50-50. Walaupun JDT adalah pasukan pilihan saya, kami masih mempunyai potensi untuk menang kerana permainan kami juga sangat baik,” katanya. – Bernama