PERTEMBUNGAN antara Penang FC II dan Terengganu FC II menyaksikan kedua-duanya seri 2-2 pada aksi Piala MFL yang berlangsung di Stadium Bandaraya.

Perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan bertarung sengit terpaksa dihentikan sementara pada minit ke-70 berikutan hujan sebelum disambung semula lebih satu jam kemudian.

Jurulatih Penang II, Manzoor Azwira Abdul Hamid menyatakan keadaan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada prestasi pemainnya di atas padang.

“Separuh masa pertama kita kurang mendapat rentak kerana ada sedikit kelemahan di bahagian pertahanan dan serangan. Namun, separuh masa kedua kita berjaya kembali mendapatkan rentak dan berjaya menjaringkan  gol. 

Walaupun pemain agak terleka dan kesejukkan semasa permainan dihentikan, itu bukanlah alasan dan pemain masih berjaya untuk mendapatkan gol untuk menyamakan kedudukan,” katanya selepas perlawanan.

Manzoor Azwira Abdul Hamid memberikan arahan kepada anak buahnya

Penang FC II yang kini mencatat keputusan seri dalam dua perlawanan berturut-turut, berpendapat mereka sepatutnya berhak membawa pulang tiga mata penuh daripada perlawanan ini.

Manzoor mengakui pasukannya perlu berusaha lebih keras untuk perlawanan seterusnya yang akan berlangsung di tempat lawan.

“Sudah dua perlawanan kita mendapat keputusan seri kalau nk diikutkan sepatutnya kita sudah mengutip enam mata daripada dua perlawanan ini, jadi kita perlu bekerja keras untuk perlawanan di tempat lawan nanti,” tambahnya.

Idrzuwan berjaya menjaringkan gol untuk Penang ll

Bagi Terengganu FC II pula, penolong jurulatih Haris Safwan Kamal yang baru mengambil alih tugas dalam beberapa hari sebelum perlawanan ini, turut menyatakan rasa syukur walaupun tidak berjaya mendapatkan tiga mata penuh.

“Syukur alhamdulillah walaupun tak dapat tiga mata, tetapi kita bawa pulang satu mata. Banyak yang perlu diperbaiki dan insyaAllah saya akan buat perubahan yang perlu dalam masa terdekat ini,” katanya.

Muslihuddin ‘Atiq (kanan) berjaya menjaringkan gol kedua Terengganu ll

Menurut Haris lagi, dia akan membuat beberapa perubahan untuk memastikan pasukan yang baharu dibimbingnya itu akan tetap terus memberikan aksi yang terbaik pada masa akan datang.

“Dalam bola sepak kadang-kadang kita ada juga sedikit kelekaan membuat kesalahan sehingga memberikan jaringan hasil kesilapan kita sendiri.

“Jadi benda sebegini yang kita akan perbaiki dari segi corak permainan dan saya perlu perbaiki apa yang patut dilihat kembali nanti,” tambahnya.

Keputusan seri ini menyaksikan Penang FC II kekal di tangga keenam liga, manakala Terengganu FC II berada di tangga kesembilan.