PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menepis tanggapan bahawa Harimau Malaya sukar mendapatkan aksi persahabatan kerana kurang diminati oleh negara lain.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi, menegaskan bahawa status skuad kebangsaan Malaysia masih tinggi di pentas antarabangsa, namun komitmen pasukan lain sering menjadi penghalang utama dalam mengatur perlawanan persahabatan.

“Harimau Malaya masih mendapat perhatian, tetapi negara-negara lain sudah mempunyai jadual komitmen masing-masing pada jendela antarabangsa kali ini. Bukan mereka menolak, tetapi mereka ada perancangan tersendiri,” katanya ketika menjawab isu mengenai kekurangan perlawanan persahabatan untuk Malaysia pada Oktober ini.

Pada jendela antarabangsa bulan ini, Harimau Malaya hanya akan menentang New Zealand pada 14 Oktober di Stadium North Harbour, Auckland.

Walaupun cuma satu perlawanan yang berjaya disusun, FAM tetap giat berusaha untuk mendapatkan lebih banyak perlawanan menjelang November.

Sasaran mereka adalah untuk mengadakan dua perlawanan dalam setiap jendela antarabangsa, namun sering kali terbatas oleh komitmen negara lain.

Beliau turut mengumumkan bahawa Harimau Malaya sudah mengesahkan perlawanan persahabatan dengan India pada bulan depan dan kini berusaha mendapatkan satu lagi pasukan untuk perlawanan tambahan pada November bagi memperkukuh persiapan Harimau Malaya menuju Kejohanan Asean 2024.

Mohd Yusoff menegaskan bahawa FAM tidak menetapkan syarat mengenai asal pasukan lawan, yang penting, Harimau Malaya dapat mengatur perlawanan dengan pasukan yang bersedia memberikan cabaran yang relevan.

“Kami tidak kisah dari mana datangnya pasukan lawan, asalkan mereka bersedia untuk adakan persahabatan. Kadang-kadang, ada pasukan dari benua lain yang sanggup datang jika mereka melihat keperluan untuk itu,” jelasnya.

Walaupun berdepan cabaran, FAM kekal optimis dalam memastikan Harimau Malaya terus diberi peluang menguji kekuatan menjelang kejohanan tradisi negara Asean pada penghujung tahun ini.