TIMOR Leste mendapat kelebihan awal selepas menewaskan Brunei Darussalam 1-0 pada pusingan kelayakan Piala Asean Mitsubishi Electric (Piala AFF) 2024 dalam aksi di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan pada Selasa.

Kedua-dua pasukan bersaing hebat terutama pada babak pertama dengan Brunei mahu menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk layak sekali lagi ke peringkat kumpulan Piala Asean Mitsubishi Electric selepas melakukannya pada tahun 2022.

Brunei yang hadir dengan rekod lima kemenangan berturut-turut dan menjadi pasukan Asean terbaik dari segi perubahan ranking bagaimanapun gagal menembusi gawang Timor Leste yang dikawal hebat Junildo Pereira sekali gus mengecewakan lebih 3,000 penyokong yang hadir.

Timor Leste berjaya didepan sejurus babak kedua bermula menerusi kapten pasukan, Paulo Gali yang bijak menyempurnakan peluang terhidang untuk memberikan kelebihan awal buat skuad kendalian Simon Elissetche.

Pasukan tuan rumah mempunyai peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan tetapi Azwan Ali Rahman tidak dapat menanduk bola ke gawang terbuka selepas Junildo melakukan kesilapan membaca hantaran lintang Nazry Aiman.

Tempoh 20 minit terakhir aksi menyaksikan dominasi Brunei dengan Timor Leste hanya bertahan untuk memastikan kedudukan 1-0 kekal sebagai bekal bagi perlawanan timbal balik di Chonburi, Thailand pada 15 Oktober 2024.

Pemenang perlawanan ini akan mendapat tempat ke Kumpulan A bersama-sama Thailand, Malaysia, Kemboja dan Singapura untuk kejohanan utama yang bakal berlangsung dari 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025.