PARK Hang-seo telah disenarai pendek untuk jawatan jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bekas jurulatih pasukan kebangsaan Vietnam itu merupakan antara lima calon yang dipertimbangkan oleh FAM, yang dilaporkan bersedia menawarkan gaji lumayan bagi jawatan tersebut.

Lapor media Vietnam, Vne Xpress Park Hang-seo adalah salah satu daripada calon yang dipertimbangkan selepas mesyuarat FAM yang diadakan pada hari Isnin.

Malaysia kini tanpa ketua jurulatih sejak Julai lalu apabila Kim Pan-gon meletak jawatan atas sebab peribadi walaupun kontraknya masih berbaki 1.5 tahun.

Pan-gon kemudiannya kembali ke Korea Selatan untuk mengendalikan Ulsan Hyundai, keputusan yang mengecewakan Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, serta penyokong bola sepak Malaysia.

Park Hang-seo, yang dianggap sebagai jurulatih paling berjaya dalam sejarah bola sepak Vietnam, berjaya membawa pasukan Vietnam meraih pelbagai kejayaan antarabangsa sepanjang tempoh beliau menjadi jurulatih dari 2017 hingga 2023.

ARTIKEL BERKAITAN : Ejen Park Hang-seo sedia untuk berunding dengan FAM

Buat masa ini, FAM telah melantik penolong jurulatih, Paul Marti Vicente sebagai jurulatih sementara. Vicente berjaya membantu Malaysia memenangi Piala Merdeka 2024 selepas menewaskan Filipina 2-1 dan Lubnan 1-0.

Skuad negara kini berada di bumi New Zealand bagi mengharungi perlawanan antarabangsa Tier 1 pada 14 Oktober ini.