PENYERANG Three Lions, Dominic Solanke berkata dia tidak pernah berputus asa untuk menyarung jersi England sekali lagi ketika dia bersiap sedia bagi kemungkinan aksi kedua tujuh tahun selepas penampilan sulung antarabangsanya.

Satu-satunya penampilan penyerang itu bersama England hadir sebagai pemain gantian menentang Brazil pada tahun 2017 tetapi pemain berusia 27 tahun itu menarik minat pengurus sementara Lee Carsley selepas persembahan baik pada awal musim.

England berdepan Greece di Wembley bagi aksi Liga Negara-Negara awal pagi Jumaat ini sebelum menuju ke Helsinki untuk berdepan Finland tiga hari kemudian.

Solanke, yang menyertai Tottenham dari Bournemouth Ogos lalu, berkata penampilan sulungnya di peringkat antarabangsa menentang Brazil satu daripada “pencapaian terhebat karier saya.”

Dominic Solanke (depan) menjalani latihan bersama skuad England menjelang aksi Liga Negara-Negara di St George’s Park, Burton upon Trent, England semalam. (Sumber Gambar: Reuters)

“Sejak muda dan anda hanya bermain bola sepak, jelas sekali anda mahu melakukannya tetapi mewakili negara anda ia berada di satu tahap lain.

“Saya bekerja keras untuk kembali ke detik ini,” katanya. “Jelas sekali saya melakukan penampilan sulung lama dulu. Ia satu perjalanan untuk kembali ke sini, ia satu perasaan hebat,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Bekas pemain Liverpool itu berkata dia sering kali percaya masanya akan tiba juga.

“Saya tidak fikir ia sudah berakhir. Ia satu hakikat untuk terus melakukan apa yang saya lakukan dan kekal beraksi baik serta menjaringkan gol.

“Saya sering percaya saya akan kembali ke sini. Saya bersyukur untuk kembali ke sini dan harapnya saya boleh kekal lama di sini,” katanya.

Penyerang itu, yang menyumbat tiga gol dalam lapan perlawanan musim ini, berkata dia tidak kecewa pemain lain mendapat lebih banyak peluang beraksi untuk England.