KETUA Jurulatih pasukan bola sepak Malaysia 7s, Sulaiman Hussin, bertekad untuk membawa pasukan negara melangkah sejauh mungkin dalam Kejohanan Bola Sepak Asia 7s yang bakal berlangsung di EV Arena Elmina pada Khamis.
Walaupun baharu dalam format tujuh sebelah, semangat patriotik dan keazaman untuk menjaga maruah negara menjadi motivasi utamanya dalam menghadapi cabaran sengit daripada pasukan-pasukan yang lebih berpengalaman seperti Jepun dan India, yang telah lama mempunyai liga tujuh sebelah mereka sendiri.
“Bendera negara itu amanah saya untuk tugas ini. Walaupun 7s adalah sesuatu yang baharu buat saya, perasaan bangga kerana dapat mewakili pasukan kebangsaan itu sangat penting.
“Saya sedar ini bukan tugas yang mudah, tetapi dengan gabungan pemain berpengalaman dan beberapa pemain futsal, saya yakin kami hampir bersedia untuk kejohanan ini,” jelas Sulaiman pada sidang media Kejohanan Bola Sepak Asia 7s di Elmina Sales Gallery, pada Rabu.
Sulaiman turut mengakui bahawa persiapan pasukan hanyalah melibatkan empat sesi latihan sahaja, namun dia tidak mahu menjadikan tempoh singkat itu sebagai alasan.
Baginya, format tujuh sebelah ini memerlukan pendekatan yang berbeza berbanding bola sepak 11 sebelah, dan ini membuatkan dia lebih teruja untuk menguji pasukan dalam kejohanan ini.
“Bermain tujuh sebelah ini tidak sama dengan 11 sebelah, ada banyak peraturan baharu yang diperkenalkan, jadi ini sangat menarik bagi saya.
“Walaupun hanya ada empat sesi latihan, saya tetap yakin kerana gabungan pemain berpengalaman ini memudahkan tugas saya,” tambah Sulaiman.
Dengan gabungan pemain-pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahayuddin, Razman Roslan, dan Abdul Manaf Mamat, Sulaiman percaya mereka mampu mengatasi segala kekurangan yang ada, terutamanya dalam mempelajari taktikal baharu yang diperlukan.
“Kehadiran pemain futsal ini sangat membantu kerana kebanyakan pasukan yang datang juga membawa pemain futsal mereka. Ini memberikan kami kelebihan dalam aspek rotasi pemain ketika perlawanan.
“Saya lihat keserasian sudah mula terbentuk dan ini memberi keyakinan yang lebih untuk kami menghadapi kejohanan,” jelasnya lagi.
Sulaiman juga menekankan aspek teknikal sebagai kunci utama kejayaan dalam format tujuh sebelah, yang banyak bergantung kepada permainan kombinasi dan penguasaan bola.
Sulaiman menegaskan pentingnya memilih pemain yang selesa dengan bola serta penjaga gol yang mampu bermain dengan tenang dalam situasi tersebut.
“Aspek teknikal sangat penting kerana permainan tujuh sebelah ini lebih banyak melibatkan kombinasi dan penguasaan bola.
“Pemain mesti selesa dengan bola, begitu juga penjaga gol. Namun, saya yakin dengan pengalaman yang dibawa oleh pemain-pemain ini, kami mampu bersaing dengan baik,” katanya.
Biarpun Malaysia mungkin dianggap sebagai ‘underdog’, Sulaiman menegaskan bahawa dia tidak mahu pasukannya pulang awal.
“Saya suka status ‘underdog’ ini, tetapi saya tidak mahu menjadikannya alasan. Tanggungjawab saya adalah memastikan maruah negara dijaga.
“Bermain di tempat sendiri, kami akan berikan yang terbaik dan saya berharap pasukan mampu mara hingga ke peringkat akhir pada 13 Oktober nanti,” tegas Sulaiman.
Malaysia akan memulakan kempen mereka dengan perlawanan menentang India pada 6.00 petang, diikuti pertemuan dengan Filipina pada jam 10.00 malam pada 10 Oktober.
Perlawanan terakhir peringkat kumpulan akan menyaksikan Malaysia berentap dengan Hong Kong pada 11 Oktober, jam 4.30 petang.