BEKAS pengurus Liverpool yang disanjung ramai, Jurgen Klopp, yang baru beberapa bulan meninggalkan Liverpool telah mengejutkan dunia bola sepak dengan pengumuman akan kembali ke arena sukan sebagai ketua operasi bola sepak global Kumpulan Red Bull.
Dalam pengumuman terbaru itu, Klopp memberi pandangan mengenai keputusannya untuk kembali bekerja setelah meninggalkan kelab Anfield kurang daripada setahun yang lalu.
“Saya masih sayangkan bola sepak dan saya masih suka untuk bekerja. Red Bull memberi saya platform sempurna untuk melakukan tugasan,” kata Klopp menerusi Instagram rasminya.
Klopp menjelaskan bahawa pengalaman luasnya dalam dunia bola sepak, di mana telah menghadapi pelbagai cabaran dari peringkat bawahan sehingga ke tahap tertinggi memberikannya peluang untuk berkongsi ilmu dan membantu membangunkan sukan itu.
“Saya mahu berkongsi pengalaman yang saya raih selama bertahun-tahun dan kita semua tahu ada lebih ramai pengurus berjaya di luar sana.
“Dalam karier, saya berjuang untuk merebut kejuaraan, saya berjuang untuk menjulang trofi dan kadang-kadang kita gagal, kadang-kadang kita berjaya dan menangani semua itu tidak mudah tetapi ia boleh dilakukan,” tambahnya.
Menurut Klopp lagi, dengan masa dan peluang yang lebih terbuka, dia ingin melihat secara lebih mendalam apa yang boleh disumbangkannya kepada bola sepak.
“Saya mahu lihat dan mengenal pasti apa yang berguna dalam bola sepak, jadi ia boleh membantu membangunkan bola sepak serba sedikit.”
Walaupun sudah bersedia untuk terjun kembali ke dunia bola sepak, Klopp menyatakan beliau masih dalam fasa rehat dan akan memulakan tugas rasminya pada Januari depan.
“Kini saya akan kembali meneruskan percutian. Jumpa anda Januari depan,” katanya.
Pelantikan Klopp sebagai ketua operasi bola sepak global Red Bull menimbulkan spekulasi mengenai masa depan kelab-kelab di bawah naungan Red Bull, termasuk RB Leipzig, Red Bull Salzburg, dan Leeds United.
Klopp dijangka membawa pendekatan uniknya untuk membantu membangunkan kelab-kelab ini dan bola sepak secara keseluruhan.