PASUKAN Malaysia gagal meneruskan rentak kemenangan dalam perlawanan kedua mereka di Kejohanan Bola Sepak Asia 7s selepas tewas 3-4 kepada Filipina dalam aksi mendebarkan yang berlangsung di EV Arena, Elmina, Shah Alam, malam Khamis. 

Perlawanan yang berlarutan hingga ke masa tambahan ini menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebelum Filipina berjaya mengesahkan kemenangan dramatik.

Malaysia, yang tampil dalam jersi kuning-hitam tradisi, bermula baik dengan serangan dari Ameer Saidin namun percubaannya ditepis keluar oleh penjaga gol Filipina.

Kapten Filipina, Stephan Schröck berjaya membawa kemenangan buat Filipina dalam aksi dramatik.

Pasukan negara tampak bergelut mencari ruang untuk memecah benteng lawan yang diketuai oleh kapten berpengalaman, Stephan Schröck. 

Selepas beberapa kali percubaan, Manaf Mamat akhirnya membuka jaringan buat Malaysia pada minit ke-11, menyudahkan bola pantulan hasil rembatan Wan Faiz.

Namun, Filipina segera memberi respons dengan gol penyamaan pada minit ke-17 menerusi ayam tambatan mereka Hartmann yang menjadi ancaman utama pasukan Malaysia sepanjang perlawanan. 

Kedua-dua pasukan beraksi seimbang sehingga tamat separuh masa pertama dengan kedudukan 1-1.

Memasuki babak kedua, Filipina mula agresif dan diberi peluang keemasan apabila mereka dianugerahkan sepakan penalti selepas penjaga gol Malaysia menjatuhkan pemain Filipina di dalam kotak penalti. Filipina berjaya menyempurnakan penalti tersebut, meletakkan mereka di hadapan 2-1.

Razman Roslan mengemudi barisan pertahanan negara.

Malaysia tidak berputus asa dan bangkit menerusi sepakan percuma Ameer Saidin pada minit ke-24 yang meleret cantik melepasi benteng Filipina, mengikat kedudukan 2-2. 

Namun, Filipina kembali mendahului selepas Hartmann melengkapkan hatriknya, meninggalkan pasukan Malaysia sekali lagi ketinggalan 3-2.

Insiden tegang berlaku apabila pemain Filipina, Sato, dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran terhadap Manaf Mamat. 

Meskipun Filipina beraksi dengan seorang pemain kurang, Malaysia tetap gagal memanfaatkan peluang itu dengan baik dan bergelut mencari gol penyamaan.

Di masa tambahan (comeback period), format unik permainan menyaksikan setiap tiga minit pemain dikeluarkan sehingga hanya tinggal dua pemain di padang. 

Malaysia perlu menjaringkan dua gol tanpa bolos untuk mengesahkan kemenangan. 

Antara penyokong yang hadir memberi sokongan kepada Harimau malaya 7s di EV Arena, Elmina, Shah Alam.

Malaysia berjaya sekali lagi mengikat Filipina menerusi Manaf namun ketika permainan berakhir dengan hanya dua pemain di padang, Filipina akhirnya menjaringkan gol kemenangan menerusi kapten mereka, Stephan Schröck.

Malaysia kini akan berdepan Hong Kong pada Jumaat pukul 4.30 petang, dan kemenangan amat diperlukan untuk membaiki kedudukan dalam kumpulan serta menghidupkan peluang mara ke peringkat seterusnya.