PASUKAN Malaysia 7s gagal meneruskan rentak kemenangan selepas tewas 3-4 kepada Filipina dalam perlawanan mendebarkan di Asia 7s Football Championship yang berlangsung di EV Arena, Elmina, Shah Alam pada Khamis.

Walaupun tewas dalam format tujuh sebelah yang baharu bagi kebanyakan pemain, kapten Malaysia, Razman Roslan, tetap positif dengan perkembangan pasukan.

Razman menyatakan bahawa perlawanan ini menghiburkan walaupun ia penuh dengan cabaran baru.

“Bagi saya, perlawanan yang menghiburkan walaupun kebanyakan antara kami berpengalaman dalam bola sepak 11 sebelah, tetapi ini benda baharu, peraturan baharu, banyaklah benda baharu yang kami pelajari dalam kejohanan kali ini,” kata Razman selepas perlawanan.

Razman turut mengakui bahawa format 7 sebelah ini membuka peluang kepada pasukan untuk membuat ‘comeback’ walaupun di penghujung perlawanan, satu elemen yang jarang dilihat dalam bola sepak 11 sebelah.

“Sebab lepas dah menang second half pun belum habis lagi, ada team boleh comeback, jadi itu benda baharu yang kami belajar.

“Esok kita akan jumpa dengan Hong Kong, so kita takkan ambil mudah. Sama seperti perlawanan hari ini, kita akan all out kerana standing itu penting untuk mendapat ranking yang baik dan memudahkan laluan ke suku akhir,” tambahnya.

Razman juga melihat format tujuh sebelah ini sebagai peluang baru untuk pemain bola sepak Malaysia mengembangkan kemahiran mereka, terutama mereka yang biasa dengan bola sepak 11 sebelah dan futsal.

“Untuk saya, tujuh sebelah ini macam futsal, agak agresif sikit sebab ini small sided game. Tapi bagi saya, ia normal dalam bola sepak, dan saya rasa pengalaman ini banyak membantu pasukan Filipina,” katanya lagi.

Razman juga optimis bahawa masa depan bola sepak 7 sebelah di Malaysia akan semakin cerah jika format ini diperkenalkan secara lebih meluas, termasuk kemungkinan adanya liga khusus untuk 7 sebelah di masa hadapan.

Perlawanan menentang Hong Kong  bakal menjadi penentu kepada peluang Malaysia untuk mara lebih jauh dalam kejohanan ini, dengan kemenangan amat diperlukan bagi memperbaiki kedudukan dalam kumpulan.