KETUA jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti mengakui rasa puas hati dengan prestasi pasukan selepas perlawanan persahabatan menentang Auckland FC di Stadium Go Media, Auckland, yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 pada Jumaat.
Perlawanan tersebut menjadi pemanas badan sebelum aksi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang New Zealand pada Isnin, 14 Oktober 2024, di Stadium North Harbour, Auckland.
Dalam perlawanan tersebut, Auckland FC, sebuah kelab baharu yang beraksi dalam Liga Australia, memberi cabaran fizikal dan permainan pantas yang dijangka akan menjadi ujian berguna buat Harimau Malaya. Menurut Pau Marti, Auckland FC memiliki pemain berkualiti yang menguji kemampuan skuad negara.
“Perlawanan ini sangat penting untuk kami kerana ia memberikan gambaran awal tentang permainan yang mungkin kami hadapi ketika bertemu New Zealand nanti.
“Auckland FC pasukan yang sangat kuat dan kami mengharapkan perlawanan yang serupa Isnin nanti dengan permainan fizikal serta tempo pantas,” kata Marti.
Auckland FC mendahului pada minit ke-25 menerusi jaringan Francis de Vries, namun Harimau Malaya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-59 hasil jaringan Nooa Laine.
Pau Marti turut mengambil kesempatan untuk menukar sembilan pemain pada separuh masa kedua, memastikan setiap pemain hanya beraksi selama 45 minit, dan dia berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan.
“Walaupun permainan hari ini pada intensiti rendah, saya gembira dengan prestasi keseluruhan pemain. Kami akan mengadakan satu sesi latihan lagi pada Ahad sebagai persediaan akhir sebelum perlawanan penting pada Isnin ini,” tambahnya.
Perlawanan menentang New Zealand pada Isnin akan menjadi ujian besar buat Harimau Malaya, dan Marti yakin bahawa pasukannya mampu bangkit dengan lebih bertenaga.