PASUKAN Malaysia terus mempamerkan aksi cemerlang di Kejohanan Bola Sepak Asia 7s apabila menewaskan Singapura 5-1 dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung di EV Arena, Elmina, Shah Alam, Jumaat malam.
Kemenangan bergaya ini membolehkan skuad negara mara ke separuh akhir untuk menentang juara bertahan, Jepun, yang dijadualkan pada jam 8:30 malam, Sabtu.
Malaysia, yang bermain dalam seragam kuning hitam, memulakan permainan dengan penuh keyakinan. Razman Roslan hampir mencipta gol awal dengan percubaan bahaya ke arah gawang Singapura. Fandi Othman pula nyaris memecah kebuntuan pada minit keenam apabila rembatan kencangnya terkena palang.
Kebangkitan Malaysia akhirnya membuahkan hasil pada minit kesembilan apabila Fandi, dengan tenang, menyempurnakan gol pertama selepas satu placing cantik menerjah gawang Singapura.
Pasukan lawan cuba bermain bertahan dan menunggu peluang untuk melancarkan serangan balas, namun asakan demi asakan pasukan negara membuatkan lawan terpaksa berkampung di kawasan mereka sendiri.
Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 1-0 memihak Malaysia, namun Malaysia terus mengatur serangan dari bawah selepas rehat.
Pada minit ke-27, Fandi sekali lagi mencatat namanya di papan skor selepas menerima hantaran cut-back sempurna dari Wan Faiz. Hanya tiga minit kemudian, Manaf Mamat menambah gol ketiga selepas satu gerakan menarik dari pasukan negara, menjadikan kedudukan 3-0.
Walaupun Singapura berjaya mendapatkan satu gol pada minit ke-35, hasil dari percubaan yang terkena pertahanan Malaysia, pasukan negara tidak tergugat. Percubaan Azriddin Rosli pada minit ke-39 memastikan kemenangan selesa 4-1 buat Malaysia sebelum memasuki ‘comeback period’.
Dalam tempoh comeback, Malaysia kelihatan sedikit bergelut untuk mencari gol tambahan, namun Ameer Saidin akhirnya memastikan kemenangan mutlak apabila melepaskan rembatan dari tengah padang ke gawang Singapura yang kosong, memanfaatkan penggunaan ‘power play’ oleh lawan.
Dengan kemenangan 5-1 ini, Malaysia kini bersiap sedia untuk menentang Jepun dalam separuh akhir, dalam misi menumbangkan juara bertahan dan merebut tiket ke final Kejohanan Asia 7s.