NAIB Presiden, Syed Yazid Syed Omar dipilih menerajui Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) selepas memenangi jawatan presiden dengan meraih 15 undi menewaskan pemangku Presiden, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang meraih 12 undi pada Kongres ke-35 persatuan itu di ibu negara.

Syed Yazid yang juga Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal memimpin persatuan tersebut untuk tempoh empat tahun sehingga 2028 dan misi utamanya sebagai presiden adalah untuk menyelesaikan masalah gaji yang melanda kelab Kuala Lumpur City FC.

“Syukur atas kemenangan ini dan saya perlu teruskan perjuangan, amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Isu kewangan serta tunggakan gaji KL City akan menjadi tugasan pertama saya,” katanya ketika ditemui media selepas pengumuman keputusan itu.

Syed Yazid Syed Omar peneraju baharu KLFA bagi penggal 2024-2028

KLFA sebelum ini diterajui bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang kemudiannya melepaskan jawatan itu pada Mac sekaligus membuka laluan untuk pemilihan baharu.

Syed Yazid juga mengakui berpuas hati dengan barisan kepimpinan baharu ini yang disifatkan mempunyai misi yang sama dengannya.

“Saya berpuas hati kerana dari timbalan hingga ke exco, majoriti mereka adalah dari kem saya dan ini memudahkan saya dalam usaha melakukan kerja dan saya sudah mempunyai pelan untuk memastikan segala masalah dapat diselesaikan,” jelasnya.

 

Sekitar sesi pengundian ketika Kongres ke-35 Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur

Dalam pemilihan yang sama, dua jawatan Timbalan Presiden pula disandang Datuk Kamarudin Hassan yang meraih 18 undi serta Datuk Sri Wong Yeon Chai yang meraih 15 undi untuk membentuk barisan terbaik bagi penggal 2024-2028.