SKUAD badminton remaja negara berpeluang membawa pulang dua pingat emas pada Kejohanan Remaja Dunia BWF yang sedang berlangsung di Nanchang, China, selepas memiliki dua wakil pada final esok.
Pasangan beregu wanita, Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi mencipta kejutan terbesar pada aksi separuh akhir hari ini selepas menyingkir pasangan tuan rumah, Chen Fah Shu Tian-Liu Jia Yue yang juga pilihan utama kejohanan menerusi aksi bertenaga rubber game.
Biarpun tewas 16-21 pada set pertama, pasangan muda negara itu bangkit dalam dua set berikutnya, memenangi perlawanan 21-16, 21-17.
“Kami tidak sangka dengan kemenangan ini tetapi sentiasa berkomunikasi dalam gelanggang, dan menggunakan nasihat jurulatih dengan baik.
“Sebenarnya turun gelanggang sahaja sudah takut sebab menentang pilihan utama dari China, mereka kuat menyerang dan bertahan.
“Selepas tewas set pertama, jurulatih beritahu, kami perlu main jauh lebih laju daripada mereka dan berjaya,” kata Zi Yu kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sementara itu, Dania mendedahkan bahawa mereka hanya digandingkan Januari tahun ini dan kedua-duanya baru kali pertama beraksi di Kejohanan Dunia.
Untuk rekod, pasangan Jepun yang akan ditentang pemain negara adalah juara bertahan tahun lalu.
Kemenangan membolehkan pasangan negara menempah pertemuan akhir dengan satu lagi pilihan kejohanan, Ririna Hiramoto-Aya Tamaki dadri Jepun.
Dalam pada itu, menepati ramalan, beregu lelaki nombor 1 remaja dunia, Aaron Tai-Kang Khai Xing, yang menyingkir pasangan pilihan keempat dari China, Chen Yong Rui-Chen Zhe Han.
“Perlawanan ini tidak mudah tetapi saya gembira kami dapat bangkit dari kekalahan set kedua.
“Saya amat gembira dengan cara kami bangkit, mengubah corak permainan di set ketiga dengan lebih menyerang,” kata Khai Xing.
Pada aksi separuh akhir itu, pasangan negara menang 21-18 di set pertama namun dikejutkan dengan aksi pantaras Yong Rui-Zhe Han hingga tewas 10-21, sebelum bangkit menempah tiket ke final dengan kemenangan 21-15.
Di final esok, Aaron-Khai Xing akan berdepans pilihan kedua kejohanan dari China, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi dalam perburuan gelaran remaja dunia pertama mereka.
Untuk rekod, pada edisi tahun lalu, Aaron muncul pemenang pingat gangsa beregu lelaki ketika berpasangan dengan Bryan Goonting.
Sementara Goh Jin Wei muncul pemain remaja terakhir negara, meraih kejuaraan di Kejohanan Remaja Dunia dalam acara perseorangan wanita edisi 2018.