KEJOHANAN Dodgeball Turo Thunder Throw 2024 menyaksikan pasukan Blitz Steroids dinobatkan sebagai juara selepas kemenangan dramatik 5-4 ke atas Ace dalam perlawanan final yang penuh mendebarkan yang berlangsung di The Curve, Damansara, petang Ahad.
Pertarungan akhir berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas separuh masa pertama, yang berlangsung selama 15 minit.
Ace yang pada mulanya mendahului dua mata namun Blitz Steroids kembali mengikat kedudukan 2-2.
Blitz Steroids dan Ace saling menyerang dengan permainan pantas dan taktikal, namun kedudukan berakhir 3-4 memihak kepada Ace pada penghujung masa biasa. Perlawanan kemudian memasuki tempoh ‘sudden death’ namun kedua-dua pasukan masih terikat 4-4, memaksa perlawanan ditentukan menerusi ‘time breaker’.
Dalam detik penentuan, Blitz Steroids berjaya mempamerkan ketangkasan dengan melakukan lontaran yang tepat, sekali gus mengesahkan kejuaraan mereka dengan kemenangan 5-4.
Bagi perebutan tempat ketiga, Anak Malaya 1 dan Blitz Autistic turut menyajikan aksi menarik dengan perlawanan berakhir 4-4 selepas masa tambahan. Anak Malaya akhirnya muncul pemenang tempat ketiga dengan kemenangan tipis 5-4 selepas “sudden death,” menewaskan Blitz Autistic.
Kejohanan julung kali ini ternyata memberi pengalaman mendalam buat semua pasukan dan meningkatkan lagi populariti sukan dodgeball di Malaysia.
Kejohanan ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz, dan Penaung Persatuan Dodgeball Malaysia, Datuk Abdul Malek Mohamed Noor, yang menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Juara menerima wang tunai berjumlah RM3,500, sementara naib juara membawa pulang RM2,000 beserta pingat, dan pemenang tempat ketiga menerima RM1,000 serta pingat.