KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menganggap kekalahan 0-4 di tangan New Zealand pada aksi persahabatan antarabangsa adalah satu pengajaran berguna buat dirinya serta kesemua pemain negara.

Skuad kebangsaan berjaya menyerap tekanan berterusan lawan pada babak pertama tetapi gagal mengekalkan intensiti permainan dan akhirnya bolos empat gol pada babak kedua dan pulang dengan tangan kosong pada kalendar antarabangsa Fifa kali ini.

Jurulatih asal Sepanyol itu juga turut meminta maaf kepada para penyokong yang memberikan sokongan di tanah air serta yang hadir di Auckland kerana gagal memberikan kemenangan yang diinginkan dalam usaha menaikkan ranking dunia.

“Saya fikir semuanya positif. Idea untuk datang ke sini dan meluangkan masa beberapa hari serta bermain bersama, mengadakan perlawanan ujian dan berdepan New Zealand.

“Ianya sukar untuk berdepan lawan sebegini tapi bagi kami, ianya satu cabaran dan kita akan belajar daripadanya dan saya meminta maaf kepada para penyokong kerana tidak berjaya memberikan kemenangan buat anda,” katanya dalam temubual selepas perlawanan.

Buat pertama kali sejak, Malaysia gagal mendapatkan sebarang mata ranking Fifa sebaliknya kehilangan 3.72 mata dan berkemungkinan akan turun dari ranking terkini dan secara matematiknya tidak berjaya memintas India untuk berada dalam Pot 1, Kelayakan Piala Asia 2027.

Malaysia hadir ke Auckland lebih awal untuk kem latihan namun gagal memberikan sebarang impak dengan mencatat keputusan seri 1-1 menentang kelab Auckland FC sebelum dibelasah New Zealand yang tidak menurunkan skuad utama mereka.