BEKAS pemain Real Madrid, Jese Rodriguez tidak perlu menunggu lama untuk menjaringkan gol bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila membuka akaun jaringannya ketika membantu Harimau Selatan membenam cabaran Balestier Khalsa 8-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa.

Jese yang menyertai JDT secara ejen bebas diletakkan di bangku simpanan sebelum dimasukkan pada babak kedua dan dia berjaya menjaringkan gol pada minit ke-83 sekaligus dilihat pantas membentuk keserasian dengan pemain-pemain lain.

Pemenang dua trofi Liga Juara-Juara UEFA itu memuat naik ciapan di laman X dan Instagram peribadinya yang menyatakan rasa puas hati kerana kembali bermain bola sepak dan berterima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail serta rakan-rakan sepasukan dan para penyokong.

“Gembira dengan kemenangan pasukan dan terima kasih kepada penyokong yang bersemangat dan mengalu-alukan kehadiran saya disini. Saya juga berterima kasih kepada boss (Tunku Ismail) dan rakan-rakan sepasukan kerana membantu saya kembali merasai menjadi pemain bola sepak dan menjaringkan gol kembali.

“Kita kini di landasan yang betul sebagai pasukan, ayuh semua mari lakukannya bersama-sama,” tulisnya dalam hantaran itu selepas tamat perlawanan.

JDT melakukan persiapan menjelang aksi ketiga Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) menentang Gwangju FC di tempat lawan dan pemain-pemain utama di ACLE diturunkan bagi memastikan mereka cergas ekoran liga yang berhenti rehat seketika untuk tempoh kalendar antarabangsa Fifa.

Tambah menarik, Hector Bidoglio juga memberikan peluang beraksi buat penjaring terbanyak Piala MFL ketika ini, Gabriel Nistelrooy dan dia juga membuktikan kemampuan dengan menyumbang satu gol di hadapan hampir 5,000 penyokong yang hadir di Stadium Sultan Ibrahim.

Selain Gabriel, Hector Bidoglio turut memberikan peluang buat Najmuddin Akmal, G.Pavithran, Daryl Syam dan Ahmad Irfan untuk beraksi dan pemain-pemain muda ini jelas memberikan persembahan yang tidak mengecewakan.

Bergson Da Silva meledak hatrik manakala Heberty Fernandes menyumbang dua gol dengan Oscar Arribas menjaringkan satu gol untuk melengkapkan kemenangan bergaya JDT keatas wakil Singapura itu.