KETERUJAAN peminat sukan MotoGP akan semakin bertambah apabila bakal menyaksikan wakil pelumba negara bersaing pada Grand Prix MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Petronas dari 1 hingga 3 November ini.
Pelumba tempatan ini beraksi dengan tiket wild card dalam kategori Moto2 atau Moto3 sekaligus dapat menarik lebih ramai peminat tempatan untuk hadir ke litar.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif yang ternyata teruja dengan perkembangan ini menjelaskan bahawa pelumba yang akan beraksi itu bukan daripada SIC, sebaliknya di bawah tajaan sebuah syarikat korporat tempatan.
“Saya difahamkan pelumba mereka sedang melakukan persiapan. Insya-Allah dalam masa terdekat ini syarikat itu akan mengumumkannya sendiri siapa yang akan raih tiket wild card itu.
“Saya tidak ada maklumat lanjut berkenaan siapa yang akan mendapat peluang itu pada tahun ini tetapi yang saya tahu setakat ini memang ada penyertaan wild card untuk pelumba negara.
“Difahamkan juga pengumuman mengenai perkara ini akan dilakukan pada minggu depan atau minggu satu lagi dan yang pasti daripada SIC memang tiada pelumba wild card untuk tahun ini,” katanya pada sidang media kerjasama strategik antara SIC dan Tourism Selangor di Sepang.
Majlis bersejarah itu turut dihadiri Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim serta CEO Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad dengan badan agensi kerajaan itu mahu menggunakan Grand Prix MotoGP Malaysia sebagai platform untuk mempromosikan kempen Tahun Melawat Selangor 2025.
Untuk perlumbaan musim lalu, pelumba negara, Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar meraih dua tiket wild card dalam kelas Moto2 bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda Team.